top of page

Vandalisme: Dua Lelaki Ditahan

  • nabalunews
  • 27 minutes ago
  • 1 min read

4 Februari 2026


KENINGAU: Dua remaja lelaki ditahan selepas dirakam melakukan perbuatan vandalisme merosakkan papan tanda di tepi Jalan Sinaron - Tongod, di sini, semalam.


Kejadian yang difahamkan berlaku pada 2 Februari lalu itu dipercayai dirakam oleh rakan suspek dan tular selepas dimuatnaik ke status aplikasi Whatsapp serta laman sosial facebook.


Penularan rakaman berdurasi 22 saat yang melibatkan remaja berusia 17 dan 19 tahun itu mengundang perhatian ramai sehingga mencetuskan kemarahan orang awam.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penularan video berkenaan kira-kira jam 12.08 tengah malam, 2 Februari lalu.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan mendakwa perbuatan berkenaan dilakukan atas alasan bergurau.


“Kedua-dua mereka juga dipercayai menyedari aksi tersebut sedang dirakam oleh rakan mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, susulan tangkapan kedua-dua suspek, polis memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan lanjut.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan cara merosakkan dan menyebabkan kerugian ke atas harta benda milik Kerajaan Malaysia.


"Polis memandang serius sebarang perlakuan jenayah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.


“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta digalakkan menyalurkan maklumat yang boleh membantu siasatan kepada pihak polis,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page