top of page

Video tular pergaduhan di Penampang, dua wanita warga asing ditahan

  • nabalunews
  • Jul 23, 2024
  • 1 min read

23 Julai 2024


PENAMPANG: Dua wanita warga asing ditahan polis berhubung kes pergaduhan yang tular di kawasan parkir sebuah pasar raya di sini, Sabtu lalu.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton mengesahkan penahanan kedua-dua wanita terbabit pada hari yang sama iaitu suspek yang berusia 18 tahun yang dilihat memukul mangsa dalam video yang tular.


"Manakala tangkapan kedua membabitkan seorang lagi wanita berusia 25 tahun iaitu mangsa yang dipukul kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.


Menerusi rakaman video berdurasi dua minit 16 saat yang tular di media sosial, mangsa dilihat beberapa kali ditampar dan rambutnya ditarik hingga terjatuh sebelum mangsa ditendang oleh dua wanita.


"Polis Penampang sedang menggerakkan pasukan bagi mengesan seorang lagi suspek yang dilihat terlibat dalam kejadian tersebut," jelas Sammy.


Beliau berkata, motif pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas.


Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mendatangkan cedera serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Selain itu, kes terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.


Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes video tular itu agar segera berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-712222.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page