top of page
  • Wartawan Nabalu News

Wakil rakyat berperanan bantu perkasakan pendidikan – Ewon

26 Jan 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Penglibatan wakil rakyat dalam menyokong aktiviti yang dijalankan oleh sekolah merupakan sebahagian daripada komitmen dan tanggungjawab bersama membangunkan pendidikan anak-anak.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata melalui penglibatan tersebut keperluan tambahan dan bantuan yang diperlukan oleh sekolah dapat didengar seterusnya diambil tindakan sewajarnya.


Katanya, beliau sendiri telah menggunakan peruntukkan wakil rakyat untuk menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh sekolah manakala jika melibatkan peruntukkan besar akan dibawa ke peringkat kementerian.


Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian itu mengulangi hasrat dan komitmennya untuk terus membantu sekolah di kawasannya termasuk menyediakan peruntukkan khas untuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Pada tahun lepas, kita telah menurunkan sejumlah peruntukan untuk menambahbaik kemudahan sekolah seperti tandas, tetapi ia tidak mencukupi kerana banyak keperluan sekolah.


“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya bertanggungjawab mempermudahkan atau mencari penyelesaian masalah yang dihadapi pihak sekolah, sama ada menggunakan peruntukan wakil rakyat atau mengangkat keperluan itu ke peringkat kementerian berkenaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Tahun 6 dan PPKI SK Luyang, di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, di sini, hari ini.

Ewon berkata, keperluan pelajar berkeperluan khas di beberapa sekolah kawasan Penampang dan Kadamaian juga akan diberi perhatian sewajarnya.


“Saya maklum sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kawasan Parlimen Penampang dan kawasan Kadamaian, komitmen saya adalah untuk menyediakan sejumlah peruntukan untuk membantu keperluan pengajaran pendidikan khas di sekolah-sekolah ini.


“Pada tahun lepas, saya telah menyalurkan peruntukan melalui agensi di bawah kementerian saya kepada semua sekolah rendah dan menangah kawasan yang saya wakili iaitu Penampang dan Kadamaian tetapi ia tidak mencukupi kerana banyak keperluan sekolah,” katanya.


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sijil graduasi kepada 95 murid Tahun Enam dan 9 murid Program Pendidikan Khas.


bottom of page