top of page

Wakil Sabah Timba Wawasan Strategik Di Energy Asia 2025

  • nabalunews
  • Jul 17, 2025
  • 2 min read

17 Julai 2025


KOTA KINABALU: Persidangan Energy Asia 2025 di ibu negara telah menjadi platform yang signifikan bagi delegasi Sabah untuk menjadi sebahagian daripada wacana strategik mengenai peranan Asia yang semakin berkembang dalam landskap tenaga global khususnya dalam memacu peralihan tenaga yang saksama dan inklusif.


Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata, persidangan tiga hari yang berlangsung dari 16 hingga 18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu sebagai satu "laluan pantas" untuk mendalami konteks dan hala tuju peralihan tenaga masa kini.


“Bagi saya, platform ini memberi peluang untuk memahami kedudukan Sabah dalam inisiatif tenaga terutamanya dari sudut inovasi dan strategi.


Para penceramah yang berpengalaman telah menyampaikan isu yang kompleks dengan jelas dan padat dalam masa singkat. Ia membuka ruang pengalaman baharu bagi saya,” katanya.


Mohd Hanafiah berkata, beliau tertarik dengan sesi perbincangan yang menyentuh aspek peraturan dan tadbir urus dalam menangani peralihan tenaga, sambil menekankan bahawa rangka kerja kawal selia yang berkesan tidak semestinya mengguna pakai pendekatan yang seragam.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Dr Firdausi Suffian, berkata persidangan itu memperkukuh mesej penting bahawa matlamat sifar bersih tidak dapat dicapai tanpa penglibatan aktif Asia.


“Perkongsian di sini menekankan kepentingan kolaborasi, kepelbagaian, dan juga peningkatan kemahiran. Ini bukan sekadar kata-kata yang gah, tetapi satu keperluan strategik sekiranya kita benar-benar serius dalam merealisasikan peralihan tenaga yang saksama dan inklusif di rantau ini,” katanya.


Dr Firdausi turut menyeru lebih ramai pembuat dasar, pemain industri, ahli akademik, dan masyarakat sivil untuk mengambil bahagian dalam persidangan seperti ini, kerana usaha ke arah peralihan tenaga memerlukan pendekatan kolektif dan inklusif demi memastikan ketahanan jangka panjang.


Katanya, perbincangan di persidangan itu menunjukkan kesepakatan bahawa peralihan tenaga mesti dilihat dalam konteks yang sesuai dengan keperluan dan keadaan sesebuah wilayah atau negara.


Persidangan Energy Asia, yang dianjurkan oleh PETRONAS dengan kerjasama CERAWeek oleh S&P Global, melabuhkan tirai dengan seruan untuk mempercepat peralihan tenaga yang adil, inklusif, dan praktikal.


Persidangan itu menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari 60 negara dan 38 sektor, termasuk pembuat dasar, pelabur, inovator, dan profesional tenaga bagi bertukar pandangan serta merangka penyelesaian berorientasikan masa hadapan.


Melalui lebih 50 dialog strategik merangkumi tujuh sub-tema utama, Energy Asia membincangkan usaha kerjasama antara negara-negara Asia dalam memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, melaksanakan penyelesaian nyahkarbon, memudahkan pemindahan teknologi, serta merangsang pembangunan ekonomi dan sosioekonomi serantau.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page