Wang tunai RM1.4.juta dirampas, enam ditahan ESSCOM di Tawau
- nabalunews
- Oct 13, 2024
- 1 min read

13 Oktober 2024
TAWAU: Enam individu ditahan bersama wang tunai berjumlah RM1.4 jutadipercayai berkaitan aktiviti haram dalam serbuan Operasi Jenayah Rentas Sempadan daerah Tawau yang dikoordinasikan oleh Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada Jumaat.
Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos berkata, individu berusia di antara 40 hingga 47 tahun itu ditahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, beberapa peralatan seperti telefon dan dokumen serta fail-fail berkaitan turut dirampas dalam operasi tersebut yang dijalankan bersama LHDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, membabitkan 84 pegawai dan anggota.
Menurut Victor, Objektif utama operasi ini adalah demi menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) selain bertujuan membanteras penyeludupan barang tidak bercukai secara menyeluruh sehingga ke akar umbi.
Katanya ESSCOM komited dalam membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di ESS Zone bagi menyokong pembangunan negara dan pengukuhan sosioekonomi masyarakat berlandaskan nilai ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai.
"ESSCOM akan terus memperhebatkan operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang mana-mana elemen jenayah rentas sempadan yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam di pantai Timur Sabah.
"Sehubungan itu, masyarakat diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072.
Kommentare