Wanita bukan sekadar pengisi kuota - Dr Wan Azizah
13 Jun 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam suatu organisasi bukan kerana dipilih untuk pengisian kuota semata, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata wanita di negara ini mempunyai kemahiran yang sesuai dengan jawatan kepimpinan dan perlu dilengkapi dengan pendidikan, latihan dan pendedahan yang berterusan.
“Dengan pendidikan berterusan, peningkatan kemahiran, penyesuaian semula kemahiran, dan pendedahan kepada pelbagai kemahiran, kesemuanya penting untuk memastikan golongan wanita sentiasa dilengkapi dengan keupayaan untuk kekal di puncak kejayaan.
“Memilih kaum wanita sepatutnya bukan perkara yang diwajibkan oleh peraturan.
“Kita sebagai wanita sepatutnya menjadi pilihan disebabkan keupayaan kita,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Rantau Asia Pasifik.
Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, berkata kerjasama antara generasi lama dan baharu dalam kepimpinan adalah penting untuk saling belajar dan membina hubungan.
“Mereka yang lebih berpengalaman seharusnya menjadi mentor dan model teladan kepada pemimpin baharu,” katanya.
Comments