Wanita Gagasan Rakyat kecam provokasi tuntutan terhadap Sabah
- nabalunews
- 56 minutes ago
- 2 min read

28 Mac 2026
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam keras kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.
Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif selain menunjukkan kegagalan menghormati undang-undang antarabangsa yang telah sekian lama mengiktiraf kedudukan Sabah dalam Malaysia.
Beliau menegaskan Sabah merupakan wilayah berdaulat yang terbentuk berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Rakyat Sabah telah secara sah dan demokratik memilih untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
“Justeru, sebarang kenyataan yang cuba mengganggu atau mempertikaikan perkara ini adalah tidak wajar, tidak relevan dan harus ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Redonah, kedudukan Sabah sebagai wilayah berdaulat dalam Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Beliau menegaskan sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi negeri ini adalah tidak berasas dan hanya bermotifkan kepentingan politik sempit.
Lebih membimbangkan, katanya, kenyataan tersebut timbul ketika dunia sedang berdepan dengan ketidaktentuan pasaran tenaga dan krisis berkaitan sumber minyak global.
“Ini secara tidak langsung memperlihatkan bahawa motif sebenar di sebalik tuntutan tersebut adalah untuk mengaut kekayaan hasil bumi Sabah yang sememangnya kaya dengan sumber asli termasuk minyak dan gas.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar kedaulatan negara,” ujarnya.
Sehubungan itu katanya, Wanita Gagasan Rakyat menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk tuntutan terhadap Sabah dalam apa jua cara sama ada melalui tekanan politik mahupun diplomatik.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam mempertahankan hak serta kedaulatan Sabah daripada sebarang ancaman luar.
Dalam masa sama, Redonah menegaskan Wanita Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi.
“Wanita Gagasan Rakyat menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, agar terus mengangkat dan mempertahankan kedaulatan wilayah ini.
“Kita harus bersatu dalam menolak dan menyelar sebarang tuntutan daripada pihak luar yang cuba menggugat kedaulatan Sabah dan kestabilan negara,” katanya.











