Wanita maut diserang anjing liar
- nabalunews
- Jan 27
- 1 min read

27 Januari 2025
KUNAK: Seorang wanita maut selepas diserang sekumpulan anjing liar dalam kejadian di Terminal Bas Kunak, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian 1.49 pagi itu, warga emas berusia lingkungan 60-an terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah hampir di sebahagian besar badan dan kepala.
Kejadian menyayat hati itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sebelum dilaporkan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Sabarudin Rahmat ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan daripada orang awam kira-kira jam 6.30 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, seorang wanita ditemui di kawasan terminal bas berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.
"Siasatan di lokasi mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan terbaring dan tidak lengkap berpakaian.
"Terdapat kesan luka dipercayai kesan gigitan anjing liar di beberapa bahagian badan termasuk tangan, kepala dan kedua-dua kaki mangsa," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan turut menemui beberapa barangan kepunyaan mangsa yang berselerak di sekitar lokasi kejadian.
"Hasil semakan CCTV, mangsa diserang sekumpulan kira-kira 11 ekor anjing sehingga dipercayai menyebabkan mangsa meninggal dunia.
"Mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dipercayai bukan berasal dari Kunak," katanya.
Menurutnya, proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tawau hari ini dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Comments