Wanita Ranau digalakkan bersatu hati dalam SEJIWA
- nabalunews
- Apr 17, 2023
- 2 min read

17 April 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
RANAU: Golongan wanita di daerah ini diminta agar bersatu hati dalam mendukung cita-cita dan keterampilan mereka melalui Skuad Elit Jiran Wanita (SEJIWA) Parlimen Ranau yang dilancarkan pada Sabtu.
Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, golongan wanita perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam apa sahaja bidang dan program yang dianjurkan bagi memberikan impak yang besar kepada masyarakat secara amnya.
“Golongan wanita, apabila mereka bersatu hati, mereka menjadi sangat hebat dan mampu menggamit perhatian golongan atasan dan mengubah haluan pentadbiran serta perjalanan kehidupan masyarakat di sekeliling mereka.
“Justeru, dengan pelbagai kepakaran dan latarbelakang golongan wanita di sini, kita menggalakkan agar wanita terus menceburi bidang-bidang yang dilihat mampu melonjakkan lagi status mereka di dalam masyarakat,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran SEJIWA Parlimen Ranau yang diadakan di De Flower, Kampung Kilimu, di sini.
Sementara itu, Pengerusi SEJIWA, Meretha Jaudin berkata, penubuhan SEJIWA merupakan landasan khusus bagi memperkasakan peranan kaum wanita dalam KRT di sini.
“Pertubuhan ini merupakan wadah perjuangan golongan wanita untuk menyalurkan khidmat dan bakti kepada masyarakat melalui aktiviti sosial, ekonomi, keusahawanan dan kebajikan.
“Antara lain visi dan misi kami ialah untuk membantu komuniti terutama wanita dalam pelbagai acara dan aktiviti yang boleh meningkatkan ekonomi bagi melahirkan wanita yang berdaya saing dan berkualiti.
“Kita harap melalui SEJIWA, ini akan memberikan inspirasi, pendidikan dan bimbingan selain membantu ahli membudayakan diri mereka dengan amalan agama, kebajikan dan sosial,” kata Meretha.
Dalam majlis itu, satu memorandum (MOU) telah ditandatangani oleh SEJIWA bersama dengan Ketua Unit Perhubungan Masyarakat dan Kejiranan JPNIN Sabah, Susan Banet dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, Salbiah Aman.
Pemeteraian MOU tersebut disaksikan oleh Jonathan sendiri, Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin dan Pegawai Perpaduan Daerah Ranau/Kundasang, Faiz Mohd. Zahri.
MOU tersebut ditandatangani bagi memastikan pemerkasaan dan pelaksanaan program Jiranita KRT serta jalanan kerjasama strategik antara JHEWA bersama SEJIWA Parlimen Ranau.
Turut hadir, mantan ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah, Datuk Dr. Lungkiam Dambul, wakil Pegawai Daerah Ranau, Mohd. Fazri Faimin, Pengerusi-Pengerusi KRT Ranau, guru-guru Tabika Perpaduan daerah Ranau dan lain-lain.















Comments