Wanita serang remaja perempuan selepas perbincangan ‘gagal’
- nabalunews
- Jun 10, 2025
- 1 min read

10 Jun 2025
TAWAU: Seorang wanita ditahan selepas dipercayai menyerang dan mengugut seorang remaja perempuan, 19, gara-gara perbincangan mengenai isu peribadi melibatkan anak saudara ‘gagal’, dalam kejadian di Merotai Besar, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, suspek yang berusia 20 tahun dikatakan turut mencekik leher dan menumbuk bahu kiri selain mengugut akan mencederakan mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila perbincangan mengenai isu peribadi melibatkan anak saudara mangsa dikatakan tidak diterima oleh suspek.
“Sebelum kejadian serangan itu, mangsa sedang berehat di rumahnya apabila didatangi oleh suspek untuk berbincang.
“Bagaimanapun, ketegangan tercetus apabila perbincangan tersebut tidak diterima oleh suspek yang tiba-tiba marah lalu menyerang mangsa dengan mencekik leher dan menumbuk bahu kiri serta mengugut mahu mencederakannya.
“Mangsa yang bimbang akan keselamatan dirinya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai pada jam 9.25 malam hari yang sama,”katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Susulan laporan yang diterima, suspek berjaya ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai pada jam 11.50 malam.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506/323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan kecederaan.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar mengawal emosi dalam menyelesaikan sebarang pertikaian peribadi dan tidak bertindak melulu hingga mencederakan atau mengugut orang lain.
Katanya, tindakan sedemikian bukan saja membahayakan keselamatan individu tetapi boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang serius.















Comments