top of page

Wanita UPKO Kampung Narawang Anjur Pertandingan Bola Tampar Semarak Semangat Perpaduan

  • nabalunews
  • Jun 4, 2025
  • 2 min read

4 Jun 2025


RANAU: Usaha memperkukuh perpaduan dan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat terus diperkasa oleh Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Cawangan Kampung Narawang melalui penganjuran pertandingan bola tampar yang berlangsung meriah baru-baru ini.


Aktiviti komuniti yang berlangsung pada 1 Jun itu berjaya menarik penyertaan aktif daripada penduduk Kampung Narawang sekaligus menjadi platform interaksi positif antara generasi muda dan dewasa.


Pertandingan tersebut telah dikendalikan sepenuhnya oleh Ketua Wanita UPKO Cawangan Kampung Narawang, Elryestca Ewanie Stewand, yang turut memainkan peranan penting sebagai penggerak utama program.


Menurut Elryeatca, pelaksanaan pertandingan ini merupakan satu pendekatan mesra rakyat oleh UPKO Ranau dalam mendekatkan diri dengan komuniti akar umbi. Dalam masa sama, ia turut menjadi medan pembinaan kepimpinan wanita di peringkat cawangan.


Pertandingan ini telah disempurnakan oleh Ketua Cawangan UPKO Kampung Narawang, Azmay Abidi, yang turut bertindak mewakili Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George.


Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyampaikan penghargaan dan tahniah atas penganjuran program yang dianggap mampu merapatkan hubungan dalam kalangan ahli komuniti setempat.


Menurut beliau, penganjuran aktiviti sukan sedemikian merupakan salah satu pendekatan efektif dalam memperkukuh ikatan perpaduan di samping menyemai gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.


Beliau turut menekankan bahawa aktiviti seumpama ini berpotensi menjadi landasan untuk memperluas jaringan sosial dan memupuk semangat kerjasama di kalangan ahli masyarakat.


Turut hadir memberikan sokongan ialah Ketua Pemuda UPKO Cawangan Kampung Narawang, Sylvester Boy Malikin. Kehadiran beliau membuktikan komitmen dan solidariti padu antara sayap wanita dan pemuda UPKO dalam memperkasakan komuniti menerusi pendekatan sukan dan kebersamaan.


Program ini dilihat selaras dengan aspirasi UPKO dalam memperkukuhkan penglibatan akar umbi, terutamanya dalam kalangan wanita, serta mendorong mereka untuk terus aktif dalam pembangunan masyarakat setempat.


Penganjuran ini membuktikan bahawa sukan mampu menjadi medium strategik dalam membentuk masyarakat yang sihat, bersatu dan progresif, sejajar dengan matlamat UPKO untuk terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi dan inklusif.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page