Wanita UPKO mahu peranan wanita dalam politik dan pembangunan Sabah diperkasa
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyeru agar peranan wanita dalam politik dan pembangunan Sabah terus diperkasakan khususnya menerusi peningkatan penyertaan kepimpinan di semua peringkat.
Ketuanya, Mohina Ronnie Sidom, berkata wanita bukan sekadar pelengkap organisasi atau jentera pilihan raya, sebaliknya merupakan nadi perjuangan parti yang berperanan penting dalam menyatukan rakyat.
Katanya, perjuangan memperkasakan wanita bukanlah untuk menentang lelaki semata-mata, sebaliknya merupakan usaha memperkukuh demokrasi serta memastikan dasar dan pembangunan negeri mengambil kira kepentingan wanita, keluarga dan komuniti.
“Wanita tidak seharusnya dilihat hanya sebagai jentera pilihan raya, sebaliknya perlu diberi ruang untuk menjadi penggubal dasar, pemimpin masyarakat dan pencetus perubahan.
“Wanita adalah nadi yang menghidupkan perjuangan dan menjadi jiwa yang menyatukan masyarakat bagi memastikan perjuangan parti sentiasa berpaksikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Wanita UPKO bagi sesi 2026–2029, kelmarin.
Mohina berkata, pergerakan wanita turut menyuarakan kebimbangan terhadap rendahnya jumlah representasi wanita dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika ini.
Katanya, ia perlu diambil perhatian termasuk semua parti politik agar melakukan reformasi struktur bagi mewujudkan ruang politik yang lebih mesra wanita dalam kepimpinan.
“Dalam aspek ekonomi, wanita juga perlu diberikan peluang yang lebih luas untuk mengakses modal, latihan, pasaran dan kemahiran bagi membolehkan mereka menjadi pencipta kekayaan.
“Ia termasuk peluang menerusi ekonomi digital, industri kreatif, pertanian moden, pelancongan komuniti dan perusahaan inovatif.
“Pemerkasaan wanita juga perlu bergerak seiring dengan pembangunan infrastruktur asas di luar bandar, termasuk bekalan air bersih, elektrik, jalan raya, liputan komunikasi dan kemudahan kesihatan kerana ia merupakan hak rakyat dan bukan satu keistimewaan.
“Malah kerajaan juga digesa agar terus memperkukuh perlindungan terhadap wanita dan kanak-kanak melalui pusat perlindungan, khidmat kaunseling, bantuan guaman, pemulihan psikologi serta pendidikan masyarakat,” katanya.
Mohina berkata, menerusi jumlah representasi wanita yang lebih baik, proses membuat keputusan dapat menjadi lebih seimbang, inklusif dan mengambil kira keperluan masyarakat secara menyeluruh.
Sementara itu, Mohina turut menegaskan pembaharuan institusi Mahkamah Anak Negeri penting bagi memodenkan dan memperkukuh sistem kehakiman adat di Sabah.
Katanya, beliau berharap lebih ramai wanita yang berkelayakan dapat diberi peluang untuk berkhidmat sebagai Pegawai Adat kerana banyak perkara yang dibawa ke Mahkamah Anak Negeri berkaitan isu kekeluargaan, perkahwinan, perceraian dan hal domestik.
“Dengan penglibatan lebih ramai Pegawai Adat wanita, kita berharap isu yang melibatkan wanita dan keluarga dapat ditangani dengan lebih sensitif dan menyeluruh,” katanya.
Mengulas mengenai penglibatan wanita menerusi pendekatan Sabah First, Mohina berkata, ia amat penting untuk memperkasa wanita Sabah dalam menerajui agensi dan jabatan Persekutuan yang beroperasi di negeri ini.
Justeru itu katanya, kerajaan Persekutuan disaran memberi keutamaan kepada rakyat Sabah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan strategik serta kepimpinan tertinggi di agensi dan jabatan Persekutuan di Sabah.
“Langkah itu dilihat penting bagi memastikan dasar dan pelaksanaan perkhidmatan awam di Sabah lebih memahami realiti, keperluan serta aspirasi masyarakat tempatan.
“Pada masa sama, ia dapat membuka ruang yang lebih luas kepada bakat dan kepakaran wanita Sabah untuk menyumbang secara langsung dalam pembangunan negeri selaras dengan semangat Sabah First,” katanya.















Comments