top of page

Wanita UPKO Ranau Sokong Penuh Ewon, Desak Semakan Perjanjian Petronas 1976 & Tuntutan 40%

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


RANAU, 12 Ogos – Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau mengisytiharkan sokongan padu terhadap pendirian Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, dalam mendesak pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah dan semakan semula Perjanjian Petronas 1976.


Ketua Wanita UPKO Bahagian Ranau, Ming Juaping, dalam kenyataan media hari ini menegaskan bahawa kadar pulangan lima peratus (5%) yang diterima Sabah daripada hasil minyak dan gas pada masa ini sudah tidak relevan dan tidak seimbang dengan jumlah sumber bumi yang dikeluarkan di negeri ini.


Beliau berkata Perjanjian 1976 itu perlu dijajarkan semula dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kerana perjanjian berkenaan didakwa tidak pernah dibentangkan, apatah lagi dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah.



“Perkara ini menuntut penjajaran semula demi membolehkan Sabah memperoleh penyertaan ekuiti, hak kawal selia, dan pulangan kewangan yang lebih adil,” katanya.


Ming turut menegaskan bahawa isu minyak dan gas bukan bidang kuasa eksklusif Persekutuan, malah sebarang keputusan besar yang memberi kesan kepada Sabah perlu mendapat persetujuan Kerajaan Negeri.


Sebagai langkah konkrit, UPKO mencadangkan pelaksanaan model Singapura yang diamalkan pada awal 1960-an, iaitu 40 peratus daripada hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah dikekalkan di negeri ini dan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri, manakala baki 60 peratus lagi dimasukkan ke akaun hasil Kerajaan Persekutuan.


Sokongan berterusan ini, menurut Ming, menunjukkan kesatuan parti dalam memperjuangkan hak-hak negeri serta memperkasakan khidmat kepada rakyat, selaras dengan agenda perjuangan UPKO di bawah kepimpinan Ewon.


Sementara itu, Ewon dijangka membawa mandat ini kepada Ketua Menteri Sabah dan pimpinan tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan tuntutan hak negeri ini direalisasikan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page