top of page

Wanita UPKO Sambut Hari Wanita 2026 Bersama Anak-Anak Istimewa PPDK Penampang

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

7 Mac 2026


PENAMPANG: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memilih pendekatan berbeza dalam meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini dengan mengadakan program bersama anak-anak istimewa di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Penampang.


Program yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu disempurnakan oleh isteri Timbalan Ketua Menteri III, merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, Datin Connie Parantis.


Connie dalam ucapannya berkata, usaha yang dilakukan Pergerakan Wanita UPKO mencerminkan keprihatinan serta penghargaan kepada kaum ibu yang turut memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Katanya, sambutan hari wanita bukan sekadar perayaan sebaliknya pengiktirafan terhadap sumbangan dan pengorbanan wanita dalam pelbagai lapangan kehidupan termasuk dalam konteks PPDK.


“Sebagai ibu, pendidik, pemimpin dan juga tonggak kekuatan di dalam keluarga serta masyarakat, kita dapat melihat jelas betapa besarnya peranan wanita.


“Khususnya para ibu dan tenaga pengajar yang penuh kesabaran dan kasih sayang dalam membimbing anak-anak Istimewa di setiap PPDK,” katanya.

Menurutnya, sama ada ibu yang bekerjaya mahupun ibu suri rumah sepenuh masa, wanita sentiasa mempunyai peranan yang besar di dalam keluarga.


Sementara itu, Mohina Sidom berkata, pergerakan wanita mengambil keputusan untuk mengadakan program bersama komuniti sebagai tanda penghargaan terhadap peranan wanita dalam masyarakat.


Katanya, pemilihan PPDK Penampang juga bertujuan menghargai sumbangan besar golongan wanita dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, khususnya di pusat pendidikan, taska dan institusi komuniti.

“Di kebanyakan pusat pendidikan awal kanak-kanak, kita dapat melihat majoriti tenaga pengajar dan kakitangan adalah wanita.


“Ini mungkin kerana sifat wanita yang lemah lembut, penyayang dan prihatin, yang amat penting dalam mendidik serta membimbing kanak-kanak,” katanya.


Menurutnya, wanita juga memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan seharian termasuk sebagai isteri, ibu, pekerja dan usahawan, sekali gus menjadikan mereka tonggak penting dalam keluarga, masyarakat dan pembangunan negara.


“Pada masa yang sama, kehadiran Wanita UPKO ke PPDK Penampang turut bertujuan memberi sokongan moral kepada anak-anak istimewa serta ibu bapa mereka.


“Selain itu, ia juga bagi menghargai komitmen warga kerja dan sukarelawan yang bertungkus lumus membantu golongan tersebut mendapatkan pendidikan sewajarnya,” katanya.


Mohina berkata, dikesempatan ini, beliau juga ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita 2026 kepada semua wanita sambil menegaskan tema sambutan tahun ini iaitu “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara.”

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page