top of page

Wanita UPKO Sokong Belanjawan Madani 2026

  • nabalunews
  • 8 hours ago
  • 2 min read

ree

11 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pembentangan Belanjawan Madani 2026 yang disifatkannya sebagai menyeluruh, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.


Ketuanya Mohina Sidom berkata, Belanjawan Madani kali ini memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan wanita, ibu tunggal serta Orang Kurang Upaya (OKU) yang memerlukan sokongan dan perlindungan sosial.


Katanya, sebagai Ketua Wanita UPKO, beliau menyambut baik pendekatan Belanjawan Madani 2026 yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan, pengukuhan peranan wanita, dan pemerkasaan ekonomi masyarakat luar bandar.


“Peruntukan khas bagi membantu 5,000 ibu tunggal miskin yang memerlukan bantuan guaman dalam penyelesaian kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak merupakan langkah tepat pada masanya.


“Peruntukan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap kebajikan wanita dan keadilan sosial. Ia menjadi bukti kerajaan tidak meminggirkan nasib wanita yang berdepan cabaran hidup selepas perceraian,” katanya.


Mohina berkata, langkah itu bukan sahaja dapat membela nasib wanita teraniaya, malah memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan hak penjagaan anak secara sah dan adil di sisi undang-undang.


Selain itu, beliau menyifatkan langkah tersebut sebagai satu tanda kemajuan dan kematangan Malaysia dalam memperjuangkan kesaksamaan gender, selaras dengan matlamat negara ke arah masyarakat yang progresif dan inklusif.


“Kerajaan Madani jelas menunjukkan pengiktirafan terhadap peranan wanita dalam pembangunan negara dan peka terhadap keluhan serta rintihan golongan ini yang memerlukan pembelaan,” ujarnya.


Dalam pada itu, Mohina yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai penambahan pembiayaan AIM sebanyak RM230 juta.


Katanya, penambahan dana ini merupakan khabar gembira kepada usahawan AIM, khususnya wanita luar bandar yang memerlukan modal bagi menjalankan atau mengembangkan aktiviti keusahawanan.


“Dengan adanya tambahan pembiayaan ini, lebih ramai wanita dapat menjana pendapatan sendiri, memperkukuh ekonomi keluarga serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan,” jelasnya.


Menurutnya, untuk negeri Sabah sahaja, langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 52,000 sahabat dan usahawan wanita, sekali gus memperluas peluang ekonomi di peringkat akar umbi.


Dalam masa yang sama, Mohina turut memuji keputusan kerajaan untuk memberikan elaun bulanan RM150 kepada pelajar OKU, yang akan memanfaatkan kira-kira 150,000 pelajar di seluruh negara.


“Tindakan ini amat bermakna kerana ia membantu mengurangkan beban ibu bapa dan memperlihatkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang kurang bernasib baik serta memerlukan pembelaan berterusan,” katanya.


Beliau menegaskan, keseluruhan Belanjawan Madani 2026 ini memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, adil dan berdaya tahan, di mana setiap rakyat tanpa mengira latar belakang diberi peluang untuk maju bersama.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page