top of page

Wanita UPKO Tenom mahu keusahawanan, ekonomi wanita luar bandar diperkasa

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

8 Julai 2026


TENOM: Wanita UPKO Bahagian Tenom menggesa agar agenda memperkasakan keusahawanan dan ekonomi wanita luar bandar terus diberi keutamaan dalam perjuangan parti bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya di kawasan Pedalaman Atas.


Ketua Wanita UPKO Bahagian Tenom, Rosianah Abok, berkata wanita merupakan pemangkin utama kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan ekonomi masyarakat, namun masih ramai yang berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan modal, peluang latihan yang terhad, penguasaan teknologi yang rendah serta akses pasaran yang terbatas.


Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul bertajuk Memperkasakan Keusahawanan dan Ekonomi Kaum Wanita Luar Bandar pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Bahagian Tenom di Dewan Kompleks Sukan Tenom, baru-baru ini.


Menurutnya, sekiranya golongan wanita diberikan sokongan yang lebih tersusun dan menyeluruh, mereka bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing serta mewujudkan peluang pekerjaan di peringkat komuniti.


Sehubungan itu, beliau mengemukakan lima cadangan untuk diperjuangkan oleh UPKO, iaitu memperluaskan program latihan keusahawanan, pemasaran digital, pengurusan kewangan dan pembangunan produk; meningkatkan akses kepada geran, bantuan modal dan pembiayaan mikro serta skim pinjaman khas untuk usahawan wanita.


Selain itu Wanita UPKO Tenom turut mencadangkan penubuhan pusat atau hab keusahawanan wanita di kawasan Pedalaman Atas sebagai pusat latihan, bimbingan dan pemasaran; menggalakkan pembangunan perusahaan berasaskan sumber tempatan seperti makanan tradisional, hasil pertanian, kraftangan dan industri desa.


“Wanita UPKO Tenom juga mencadangkan agar usahawan wanita UPKO diberi keutamaan menyertai mana-mana ekspo, karnival, program promosi dan platform e-dagang bagi memperluaskan pasaran mereka,” katanya.


Rosianah berkata, kajian menunjukkan pendapatan yang dijana oleh wanita lazimnya dilaburkan semula untuk memenuhi keperluan pendidikan, kesihatan dan kebajikan keluarga, sekali gus membantu mengurangkan kadar kemiskinan di kawasan luar bandar.


Beliau berharap usul itu diterima dan dibawa ke peringkat kepimpinan tertinggi parti sebelum dikemukakan kepada kerajaan serta kementerian berkaitan untuk tindakan selanjutnya.


“UPKO perlu terus menjadi suara kepada wanita luar bandar supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi. Dengan sokongan yang berterusan, wanita mampu menjadi pemacu kepada pembangunan sosioekonomi keluarga, komuniti dan negeri Sabah,” katanya.


Beliau yakin pelaksanaan inisiatif berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada wanita luar bandar meningkatkan taraf hidup, memperkukuh ekonomi keluarga serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Tenom dan seluruh kawasan Pedalaman Atas.

 
 
 

1 Comment


James Rodigues
James Rodigues
a day ago

Empowering women entrepreneurs, especially in rural areas, is such a crucial step toward building a more resilient and inclusive economy. It’s inspiring to see initiatives that focus on providing the necessary support and resources to help these women succeed and lead in their communities.

If you're looking to share or save inspiring stories and highlights about these women and their journeys, I often use this insta story downloader as it is really simple and quick to use.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page