Warga Asing Ditahan Bersama 50.73 Gram Syabu
- nabalunews
- Jun 22, 2025
- 1 min read

21 Jun 2025
LAHAD DATU: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan berjaya ditahan polis dalam operasi Op Tapis di Kampung Pasusul, Felda Sahabat 18, semalam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Lahad Datu.
Katanya, suspek warga Filipina berusia 46 tahun itu ditahan bersama 50.73 gram syabu yang dijumpai dalam sebuah bekas plastik di bilik rumahnya.

“Dalam serbuan berkenaan, pasukan operasi turut berjaya merampas peralatan dipercayai digunakan untuk penyalahgunaan dadah.
“Ujian saringan awal yang dijalankan terhadap suspek turut didapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi turut merampas dua kenderaan iaitu sebuah motosikal dan kereta pacuan empat roda untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat termasuk gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Polis kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian sindiket serta modus operandi yang terlibat dalam pengedaran dadah ini,” katanya.
Sehubungan itu katanya, orang ramai disaran untuk terus membantu menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras jenayah dadah demi keselamatan komuniti.


















Comments