Warga Emas dan Kanak-Kanak Hilang Di Sungai Pegalan
- nabalunews
- 35 minutes ago
- 1 min read

24 Mac 2026
KENINGAU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang bersama cucunya di Sungai Pegalan, berhampiran kawasan Taman Bersatu, di sini, sejak pagi tadi.
Difahamkan, kedua-dua mangsa pergi ke kawasan sungai berkenaan pada kira-kira jam 9.35 pagi untuk tujuan mencuba sebuah bot.
Bagaimanapun, kedua-dua mangsa berusia 60 dan tujuh tahun itu disedari hilang sebelum orang awam membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd. Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa pada jam 6.11 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan Bomba bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya memulakan operasi SAR di pesisiran sungai.

“Setakat ini, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Fredolin Yariki dan Idan masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan media setakat jam 9.30 malam tadi.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal di lokasi, hanya barangan milik mangsa ditemui tertinggal di atas batu termasuk beg peribadi, bot dan gelen minyak.
“Pasukan operasi sedang giat menjalankan pencarian dan dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Operasi pencarian masih diteruskan dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.











