Warga Emas Ditemui Terapung Di Sungai
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

30 Mei 2025
RANAU: Seorang wanita warga emas ditemui terapung dipercayai mati lemas dalam kejadian di sungai Kampung Bitoon, di sini, Rabu lalu.
Wanita berusia 71 tahun itu ditemui kira-kira jam 1 petang oleh penduduk kampung yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan di kaunter aduan Balai Polis Ranau pada jam 1.30 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa yang disyaki mati lemas ditemui dalam keadaan terapung di permukaan sungai berkenaan.
“Mangsa ditemui tersangkut di dahan pokok bambu dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Tempat kejadian terletak di bahagian tengah perkampungan dan kedalaman sungai kira-kira tiga meter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan daripada sungai dengan bantuan penduduk kampung dan lokasi penemuan terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa di tepi sungai berkenaan.
“Mayat mangsa sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk siasatan lanjut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Afdar Sari ditalian 0138656555,” katanya.
Sehubungan itu, Mursalin menasihatkan kepada seluruh penduduk daerah ini agar sentiasa berhati-hati ketika berada berhampiran dengan sungai memandangkan cuaca ketika ini tidak menentu.
Comments