Sodop Unduk Ngadau & Sugandoi Kaamatan Kota Belud 2026 Dirasmikan
- nabalunews
- 9 hours ago
- 2 min read

17 Mei 2026
Oleh: Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD: Majlis Sodop Unduk Ngadau dan Pertandingan Sugandoi Peringkat Daerah Kota Belud Tahun 2026 dirasmikan jumaat lepas di Kadamaian Square, Taginambur, Batu 10.
Carlye Lajimin menyempurnakan perasmian tersebut mewakili Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Pegawai Daerah Kota Belud merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Pesta Kaamatan 2026 Daerah Kota Belud, Peter Jiton, Pengerusi Penyelaras Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Kota Belud, Charles Kimpui Dalinsing serta pemimpin-pemimpin komuniti.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan bagi pihak Ewon, beliau memohon maaf atas ketidakhadirannya kerana tugasan kementerian dan menyampaikan salam Kaamatan kepada semua.
Beliau menegaskan bahawa Pesta Kaamatan bukan sekadar tradisi, tetapi lambang kesyukuran, perpaduan dan kekuatan budaya rakyat Sabah yang perlu dipelihara.
Pertandingan Unduk Ngadau merupakan simbol penghormatan kepada wanita, pengorbanan dan nilai kehidupan menerusi legenda Huminodun, manakala pertandingan Sugandoi menjadi platform bakat seni, suara dan kreativiti anak muda bagi memastikan bahasa serta lagu tradisional terus hidup.
Menurut beliau lagi, pembangunan masyarakat bukan hanya tertumpu kepada ekonomi dan infrastruktur, tetapi juga keupayaan mempertahankan identiti, budaya dan warisan.
Kerajaan memberikan sokongan terhadap pembangunan belia, keusahawanan, industri kreatif dan pelancongan budaya demi peluang kepada generasi muda Sabah.
Program sebegini mengeratkan perpaduan dan memberi ruang kepada bakat tempatan untuk naik ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berpesan kepada semua peserta agar menjadi duta budaya dan wajah generasi muda Sabah, mengucapkan tahniah kepada pemenang, dan menyeru mereka yang belum berjaya supaya terus berkarya serta menyumbang kepada pembangunan budaya dan seni.
Majlis turut memperkenalkan kesemua 12 peserta akhir Unduk Ngadau yang akan berlangsung esok serta 10 peserta akhir pertandingan nyanyian Sugandoi.















Comments