Warga emas hilang ditemui selamat
20 November 2024
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang mengalami masalah pendengaran dan percakapan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tambulion Laut, di sini, semalam ditemukan selamat petang tadi.
Mangsa Kurudot@ Johan Bongkuran, 68, ditemui oleh orang awam pada jarak kira-kira 200 dari kawasan rumahnya pada jam 3.30 petang.
Sebelum itu, mangsa disedari hilang oleh ahli keluarganya selepas tidak ditemui di rumah kira-kira jam 7 malam sebelum bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.49 pagi tadi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera utiliti digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai bomba.
Operasi mencari melibatkan pelbagai agensi, termasuk anggota polis Kota Belud, pegawai dan anggota dari BBP Kota Belud, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seramai 26 orang penduduk kampung.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Operasi pencarian ditamatkan kira-kira jam 4 petang,” katanya.
Comments