Warga Emas Hilang Sejak Khamis Ditemui Lemas
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

22 Februari 2026
BELURAN: Seorang lelaki warga emas yang hilang di Sungai Kampung Lubang Buaya, Paitan, di sini, sejak Khamis lalu ditemui lemas hari ini.
Abdul Kadir Sahman, 64, ditemui penduduk kampung kira-kira jam 10.30 pagi pada jarak dua kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 2.10 petang, Khamis lalu.

"Pasukan bomba tiba di kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam berikutan jaraknya yang jauh, iaitu kira-kira 200 kilometer dari balai.
"Namun, operasi tidak dapat diteruskan kerana paras air meningkat dan laluan ke lokasi tidak selamat untuk dilalui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, usaha pencarian pada hari berikutnya juga terpaksa ditangguhkan kerana keadaan laluan masih ditenggelami air.
"Mangsa ditemukan pada hari keempat oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan bomba.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Katanya, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 3 petang.
Terdahulu, dalam kejadian berkenaan, mangsa bersama rakannya dipercayai cuba menyeberangi sungai menggunakan sebuah kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, rakannya sempat menyelamatkan diri sebelum melaporkan kehilangan mangsa.















Comments