WARGA EMAS KONGSI PENGALAMAN DIJANGKITI COVID-19
24 Feb 2021
MELAKA: Pak Cik K (bukan nama sebenar) dari Tanjung Kling di sini adalah salah seorang daripada warga emas pesakit COVID-19 yang ‘terselamat’ selepas dijangkiti wabak itu pada Dis tahun lepas.
Warga emas berusia 89 tahun itu adalah antara 252,623 pesakit telah sembuh daripada wabak COVID-19 di negara ini yang telah meragut 1,062 nyawa di Malaysia sehingga semalam (22 Feb).
Berkongsi pengalamannya selama 24 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, Pak Cik K mengingatkan dirinya dan masyarakat agar tidak mengambil mudah pandemik yang ‘menyerang’ seluruh dunia ketika ini.
Oleh kerana bimbang beliau adalah golongan berisiko tinggi serta berada di ICU, Pak Cik K akur apabila sampel darahnya diambil setiap hari serta terpaksa mengambil sembilan jenis ubat pada waktu pagi dan petang untuk memastikan beliau kembali sembuh.
Detik cemas Pak Cik K bermula pada Disember lepas ketika 32 ahli keluarganya pulang ke kampung bagi meraikan ahli baharu dalam keluarga setelah salah seorang daripada cucunya yang berkahwin dan tinggal di Negeri Sembilan kembali ke Melaka semasa pergerakan rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.
"Salah seorang anak lelaki saya baru dapat menantu dan ketika majlis perkahwinan berlangsung beberapa bulan sebelumnya, kami semua tidak dapat hadir kerana larangan merentas negeri.
"Selepas kembali dibenarkan merentas negeri, mereka semua bersepakat untuk menyambut kedatangan ahli keluarga baharu dengan membuat jamuan kecil-kecilan di rumah saya di Tanjung Kling ini tanpa mengetahui salah seorangnya telah dijangkiti COVID-19," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini.
Pak Cik K berkata selepas tiga hari ahli keluarganya pulang ke tempat masing-masing, salah seorang anaknya mula demam dan membuat saringan COVID-19 sebelum disahkan dijangkiti wabak berkenaan.
Susulan itu, semua ahli keluarganya turut menjalankan saringan COVID-19 dengan 10 daripada mereka termasuk dirinya, disahkan positif manakala 18 yang lain terpaksa menjalani kuarantin kendiri.
"Mereka ditempatkan di beberapa hospital di selatan tanah air manakala saya sendiri dimasukkan di ICU Hospital Melaka selama lebih tiga minggu berikutan sudah berusia dan mempunyai penyakit darah tinggi.
"Ketika berada dalam wad, saya terpaksa makan sembilan jenis ubat selain darah turut diambil pada setiap hari oleh pihak hospital yang memantau tahap kesihatan setiap pesakit COVID-19.
"Hanya Tuhan yang tahu debaran yang saya rasai setiap hari memandangkan saya dalam kategori berisiko tinggi, selain tidak dapat menghubungi ahli keluarga yang risau dengan keadaan saya," katanya.
Bagaimanapun, beliau bersyukur apabila Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada Ahad lepas.
"Tidak sabar rasanya untuk menerima suntikan vaksin berkenaan namun saya tahu ada jadual yang perlu dipatuhi untuk menerima suntikan itu.
"Apa yang saya mampu lakukan sebelum menerima vaksin adalah mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah serta menggunakan pencuci tangan. Saya sudah serik berada di hospital. Cukuplah sekali dijangkiti COVID-19 ini," katanya. - Bernama
Comments