Shell Tambah Pelaburan Lebih RM9 Bilion di Malaysia
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

18 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga multinasional Shell negara ini menambah pelaburan di Malaysia melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Wael Sawan yang mengunjunginya bersama delegasi Shell pada Selasa.
“Saudara Sawan menyuarakan keyakinan terhadap arah tuju negara. Pelaburan ini sekali gus bakal mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ia juga mencerminkan manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi negara yang teguh dan kepimpinan yang jelas. Insya-Allah, Malaysia mampu terus melakar masa depan yang makmur dan berdaya saing," katanya dalam kenyataan di laman media sosial rasmi beliau.
Menurutnya, Shell bukan sekadar sebuah syarikat tenaga global tetapi telah lama menjadi rakan pelaburan utama Malaysia serta memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut berkongsi pendekatan strategik Kerajaan Madani untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan sehingga generasi akan datang.
Shell telah beroperasi di Malaysia selama beberapa dekad serta mempunyai kehadiran pasaran yang kukuh dalam sektor huluan dan hiliran di Malaysia.
Comments