top of page

Warga emas melecur terselamat dari kebakaran rumah

  • nabalunews
  • Jun 13
  • 1 min read

13 Jun 2025


PUTATAN: Seorang lelaki warga emas melecur di kaki ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Dumpil, di sini, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 66 tahun dilaporkan cedera di tapak kaki dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 9.29 malam.


Katanya, seramai 21 anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi, dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu.


"Kebakaran membabitkan dua rumah bertiang jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.


"Terdapat seorang mangsa terbabit melecur di bahagian tapak kaki. Mangsa diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.


"Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran.


"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.52 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.37 tengah malam," katanya.


Menurutnya, setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik.

Yorumlar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page