Warga Emas Mengamuk Bersenjatakan Pisau Ditahan
- nabalunews
- Oct 8
- 1 min read

8 Oktober 2025
TAWAU: Tindakan pantas anggota Unit MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan seorang lelaki warga emas selepas disyaki mengamuk dalam kejadian di Kampung Air, Batu 4, Jalan Apas, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia 61 tahun terbabit dikatakan mengamuk dengan bersenjatakan pisau sehingga menimbulkan kegusaran penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian seorang lelaki yang bertindak agresif di lokasi berkenaan.
Katanya, pasukan rondaan MPV terus dikerah bergegas ke tempat kejadian dan mendapati suspek berada di luar rumah sambil memegang sebilah pisau.
“Hasil tindakan pantas anggota di lokasi berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 15 sentimeter.
“Suspek yang warganegara pemastautin tetap berketurunan Filipina itu terus dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dibuat bagi tujuan pencegahan jenayah dan memastikan keselamatan penduduk sekitar daripada sebarang insiden tidak diingini.
“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 323/8A dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Sehubungan itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menangani insiden seumpama ini.
Katanya, masyarakat disarankan supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.


















Comments