WARGA EMAS TIDAK TAKUT VAKSIN, LENGKAP DUA DOS SUNTIKAN
- Wartawan Nabalu News
- Jun 24, 2021
- 3 min read

24 Jun 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Warga emas di kawasan pedalaman Sabah tidak melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan suntikan Vaksin Covid-19 di Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan masing-masing.
Antara penerima tertua di negeri ini yang menerima vaksin ialah Kuyinin Balansing berumur 100 tahun dari Kg Kabatang Baru, Tulid. Dia hadir menerima vaksin ditemani oleh anaknya sejurus selepas menghadiri sesi temujanji NCD di Klinik Kesihatan Sook.

Kehadiran Kuyinin menarik perhatian para petugas PPV Klinik Kesihatan Sook yang kemudiannya memuat naik gambar dan catatan ringkas mengenai program imunisasi di PPV berkenaan melalui laman Facebook Klinik tersebut.
Selain Kuyinin, sepasang suami isteri dari Kampung Kuyungon Tambunan tidak melepaskan peluang untuk menerima suntikan Vaksin di Klinik Kesihatan Tambunan baru-baru ini.
Patrick Mansator, 87 dan isterinya Laita Barantou, 77 berkata mereka tidak takut sebab anak-anak sudah memberi penjelasan mengenai kepentingan Vaksin Covid-19.

Pasangan suami isteri itu berkata, sebelum ini mereka terpaksa membatalkan dua temujanji suntikan Vaksin disebabkan tiada kenderaan.
“Anak saya terpaksa membatalkan dua temujanji sebelum ini sebab kami tiada kenderaan ke klinik. Anak saya yang ada kereta tidak dapat pulang … syukur lah temujanji ketiga, PJKK kampung membantu mengurus kenderaan untuk ke Klinik Kesihatan Tambunan,” katanya kepada Nabalu News.
Patrick turut menasihatkan warga emas yang belum mendaftar Program Vaksinasi supaya mendaftar segera.
“Jangan risau dan jangan takut minta vaksin sebab ia sama seperti BCG yang diterima semasa kecil cuma Vaksin yang kita terima ini adalah untuk menguatkan antibodi kita,” katanya.
Sementara itu Labiah Bolintok Rinting, 70, dari kampung Koporingan Tamparuli sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin jenis Pfizer.

Nenek kepada 20 orang cucu itu berkata, dia menerima dos pertama pada 7 Mei dan dos kedua pada 25 Mei lalu.
"Saya tidak takut terima suntikan vaksin. Dos pertama, sakit di bahagian yang kena jarum saja, dos kedua, tidak rasa sakit tapi rasa mengantuk.
"Saya berharap penduduk Sabah segera mendaftar dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak benar mengenai Vaksin Covid,” katanya dan menambah dia makan Panadol untuk tahan sakit selepas terima suntikan.
Siti Juya Insin, 66 dari kampung Batandok Lubak Beaufort berkata, dia tidak takut terima vaksin kerana anak-anaknya sudah memberi penerangan mengenai kepentingan vaksin Covid-19.

“Saya menerima vaksin pada 5 Jun lalu,” katanya.
Anna Kibat, 70, dari kampung Papar Tambunan pula menerima suntikan dos vaksin pertama pada 7 Jun di Dewan Masyarakat Tambunan.

“Selepas suntikan, sakit di bahagian tangan yang disuntik dan mengantuk tetapi sehari selepas itu, kembali seperti biasa.
"Nasihat saya kepada yang belum terima vaksin, daftarlah dan ikuti temujanji yang ditetapkan,” katanya yang akan menerima dos suntikan vaksin kedua, pada 27 Jun ini.
Vaksin Covid-19 diberikan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19. Apabila semakin ramai orang mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian kejadian penyakit Covid-19 yang lebih teruk. Secara tidak langsung ia boleh melindungi golongan yang berisiko.
Golongan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 adalah Kanak-kanak, Warga emas berusia 65 tahun ke atas, pesakit dengan penyakit kronik, pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.
Setakat kelmarin (23 Jun) 71 suntikan baharu dibuat bagi Fasa 1 Dos 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 62,961 orang.
Bagi Fasa 1 Dos 2 pula, 81 suntikan baharu dibuat kelmarin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 53,612 orang.
Manakala, bagi Fasa 2 Dos 1 PICK, 9,880 suntikan baharu dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 274,919 orang.
Bagi Dos 2 Fasa 2, 1,363 suntikan baharu harian dibuat menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 76,329 orang.
Pendaftaran penerima vaksin setakat kelmarin ialah 12,466 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar sebanyak 831,397 (Mysejahtera 760,610: laman web 70,527: talian vaksinasi 260) bersamaan 30.1 peratus.
Comments