Warga SK Podos Raikan Persaraan Cikgu Jaukim Guntamas
- nabalunews
- Sep 5
- 2 min read

5 September 2025
KOTA BELUD: Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Podos bergema dengan suasana penuh kesyukuran dan keharuan apabila warga sekolah, ibu bapa serta bekas murid berhimpun bagi meraikan persaraan seorang pendidik disegani, Cikgu Jaukim Guntamas, yang telah mencurahkan bakti lebih tiga dekad dalam dunia pendidikan.
Cikgu Jaukim, 58, dilahirkan pada tahun 1967 di Kampung Podos, Kota Belud dan merupakan anak ketiga daripada empat beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di SK Mangkulat (1975–1980) sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Arshad (1981–1987). Minat yang mendalam terhadap dunia perguruan mendorong beliau menuntut di Maktab Perguruan Kent, Tuaran (1991–1993), sebelum memulakan kerjaya di SK Podos — tempat beliau berkhidmat sehingga persaraan.
Sepanjang perkhidmatan, beliau bukan sahaja dikenali sebagai guru yang berdedikasi di bilik darjah, malah turut aktif dalam pengurusan sekolah. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha PIBG selama 27 tahun, suatu rekod yang jarang dicapai oleh seorang pendidik. Atas komitmen luar biasa, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2000, 2001 dan 2018.

Sumbangan Cikgu Jaukim dalam bidang akademik dan kokurikulum telah melahirkan ramai murid yang berjaya dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pendidikan, keselamatan dan perkhidmatan awam. Beliau juga dikenali sebagai seorang yang penyayang, rajin, mesra serta sentiasa merendah diri — ciri-ciri yang menjadikan beliau guru disayangi ramai.
Majlis persaraan beliau diserikan dengan pelbagai persembahan, ucapan penghargaan daripada murid, ibu bapa dan rakan guru yang menzahirkan rasa terima kasih atas jasa dan sumbangan beliau. Dalam ucapan perpisahannya, Cikgu Jaukim menitipkan pesan penuh makna:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga sekolah, murid dan ibu bapa yang sentiasa bersama sepanjang perjalanan ini. Teruslah berusaha dengan ikhlas, kerana kejayaan hanya datang dengan kesabaran dan ketekunan. Saya memohon diri dengan doa agar kita semua terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.”

Selepas bersara, beliau merancang untuk menceburi bidang perniagaan dan mengusahakan tanah di kampung halaman, di samping terus menyumbang kepada masyarakat dengan cara tersendiri. Seluruh warga SK Podos dan masyarakat setempat mengucapkan selamat bersara kepada Cikgu Jaukim, dengan doa agar beliau sentiasa diberkati serta dikurniakan kesihatan yang baik dalam menempuh fasa kehidupan yang baharu.


















Comments