top of page

Warisan budaya Orang Asal berpotensi dijadikan sumber ekonomi koperasi: Ewon

  • nabalunews
  • 5 days ago
  • 2 min read

ree

20 September 2025


TENOM: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, warisan pelbagai budaya masyarakat Orang Asal di negara ini berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai sumber ekonomi melalui gerakan koperasi.


Beliau berkata, kementeriannya bersama agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus memberi sokongan dari segi peruntukan bagi memperkukuh gerakan koperasi dalam kalangan Orang Asal dan Orang Asli.


“Di peringkat kementerian, kita telah bersetuju untuk menganjurkan Persidangan Koperasi Orang Asal Malaysia di Perak, sebagai usaha menggerakkan pembangunan koperasi dalam kalangan masyarakat Orang Asal dan Orang Asli di negara ini.

ree

“Oleh itu, saya berharap masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya warisan kebudayaan dan adat resam mereka, termasuk pakaian tradisional, sebagai satu potensi pendapatan dan tarikan pelancong ke kampung serta daerah masing-masing yang diuruskan melalui koperasi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Momogun sempena Hari Orang Asal Sedunia 2025 bertemakan “Memupuk Perpaduan Melalui Kebudayaan”, di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, di sini, hari ini.


Ewon berkata, sambutan seperti Karnival Momogun bukan sahaja memperkukuh identiti dan adat resam masyarakat Orang Asal, malah mengingatkan kembali kepada pengiktirafan yang telah diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kepada komuniti itu.

ree

“Sempena karnival ini, saya mengajak masyarakat Orang Asal memberi tumpuan besar kepada pembangunan ekonomi, khususnya melalui keusahawanan dan koperasi.


“Saya juga mengalu-alukan inisiatif Momogun Nasional Congress (MNC) yang akan menganjurkan seminar ekonomi dan keusahawanan tahun ini,” katanya.


Mengenai sambutan Hari Orang Asal Sedunia, Ewon berkata ia adalah satu pengiktirafan tertinggi kepada masyarakat tersebut di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

ree

“Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukkan perlindungan dan kedudukan istimewa kepada masyarakat Momogun sebagai Orang Asal di Malaysia, termasuk hak Orang Asal, orang Melayu, Anak Negeri Sabah dan Sarawak dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendidikan dan kemudahan khas lain.


“Hak Orang Asal dan Anak Negeri Sabah turut dinyatakan dalam Ordinan Anak Negeri Sabah. Sebagai anggota Kabinet dari kalangan masyarakat Orang Asal, saya akan terus memperjuangkan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.


Beliau menegaskan perjuangan ini juga menuntut kesatuan, kerjasama dan kebersamaan semua masyarakat Orang Asal, termasuklah MNC.


“Saya berbangga melihat komitmen, dedikasi dan konsistensi MNC dalam memperjuangkan identiti rumpun serta memastikan hak-hak masyarakat Orang Asal terus dijayakan sesuai dengan Perlembagaan.


“Negara ini milik kita bersama. Masyarakat Orang Asal juga mempunyai peranan penting dalam pembangunan masa depan negara. Mari kita bersama-sama membina Persekutuan Malaysia menjadi negara yang lebih baik dengan menyemai dan menyematkan sense of belonging kepada setiap warganya,” katanya.


Karnival itu dianjurkan oleh MNC dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tenom.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page