Waspada Aktiviti Penipuan Menyamar Pegawai APM Sabah
- nabalunews
- 1 hour ago
- 2 min read

23 Februari 2026
KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap aktiviti penipuan melibatkan penyamaran individu sebagai pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) khususnya berkaitan penempahan dan pembelian baju korporat.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan agensi berkenaan, APM Sabah menerima beberapa aduan berhubung tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai pegawai jabatan berkenaan.
Katanya, ia melibatkan tindakan mengemukakan tuntutan palsu kepada pengusaha jahitan serta pembekal pakaian korporat.
“Modus operandi penipuan itu adalah dengan mendakwa pesanan dibuat bagi pihak APM Sabah, sekali gus menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada pengusaha yang terlibat.
“APM Sabah dengan tegas menafikan ada membuat sebarang pembelian atau penempahan baju korporat pada masa ini,”’katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, orang ramai turut diingatkan semua urusan perolehan rasmi APM hendaklah melalui prosedur kewangan dan saluran rasmi kerajaan yang sah serta disahkan oleh pegawai berautoriti.
“APM Sabah memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan nama serta reputasi jabatan bagi tujuan penipuan.
“Perbuatan itu merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh disiasat mengikut undang-undang sedia ada, termasuk kesalahan pemalsuan dokumen dan penipuan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, APM Sabah menasihatkan mangsa yang terlibat supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkuasa.
Katanya, pihaknya juga memberi jaminan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, semua pengusaha, pembekal dan orang awam dinasihatkan supaya membuat semakan terus dengan Pejabat APM Negeri Sabah sebelum menerima atau memproses sebarang pesanan yang menggunakan nama APM
“Ia bagi memastikan kesahihan dokumen rasmi termasuk Pesanan Tempatan (LPO) melalui saluran komunikasi rasmi serta tidak memulakan kerja atau penghantaran barangan tanpa pengesahan rasmi,” katanya.
Menurutnya, APM Sabah turut menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk penyamaran yang menggunakan nama jabatan kerajaan bagi tujuan memperdaya dan mengambil kesempatan ke atas pihak lain.
“Sebarang pertanyaan atau pengesahan boleh dibuat terus melalui talian rasmi Pejabat APM Negeri Sabah,” katanya.















Comments