- nabalunews
WHO lancar pelan henti penularan Mpox
28 Ogos 2024
LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melancarkan pelan kesiapsiagaan dan tindak balas strategik global untuk menghentikan penularan wabak Mpox dari manusia ke manusia melalui usaha yang diselaraskan di peringkat global, serantau dan nasional.
Dalam kenyataannya semalam, WHO berkata, langkah itu susulan pengisytiharan kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa oleh Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 14 Ogos lalu.
Menurut laporan Harian Metro, Tedros berkata pelan bernilai AS$135 juta (RM588.1 juta) meliputi tempoh enam bulan sehingga Februari 2025 bagi menyedia pembiayaan yang diperlukan terhadap tindak balas antaranya oleh WHO, negara anggota, rakan kongsi termasuk Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC), komuniti dan penyelidik.
"Usaha vaksinasi strategik akan memberi tumpuan kepada individu yang berisiko tinggi, termasuk kontak rapat kes baru-baru ini dan petugas kesihatan bagi mengekang rantaian penularan," kata kenyataan itu.
WHO menyatakan bahawa di peringkat global, penekanan akan diberikan kepada kepimpinan strategik, panduan berasaskan bukti yang tepat pada masanya, dan akses kepada tindakan balas perubatan untuk kumpulan paling berisiko di negara yang terjejas.
"Wabak Mpox di Republik Demokratik Congo dan negara jiran boleh dikawal, dan boleh dihentikan," kata Tedros.
Sementara itu, ibu pejabat WHO dan pejabat serantau sudah menubuhkan pasukan sokongan pengurusan insiden untuk mengetuai aktiviti persediaan dan tindak balas, serta meningkatkan jumlah kakitangan dengan ketara di negara yang terjejas.
Varian Mpox yang mendorong pengisytiharan kecemasan kesihatan dipercayai lebih menular dan membawa maut, berbanding varian sebelumnya termasuk strain klade 2 yang bertanggungjawab terhadap wabak global yang bermula pada 2022.
Tedros sebelum ini berkata, lebih daripada 100,000 kes Mpox telah disahkan kepada WHO sejak wabak global bermula pada 2022, mencatatkan peningkatan yang belum pernah berlaku sebelum ini di Afrika.
Sebelum ini dikenali sebagai Monkeypox, Mpox ialah penyakit bawaan virus yang boleh merebak melalui hubungan rapat dan bahan tercemar seperti cadar, pakaian dan jarum.
Commentaires