- nabalunews
WHO: Wabak Mpox tidak setara dengan COVID-19, penularan mampu dikawal
21 Ogos 2024
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa wabak mpox tidak harus disamakan dengan COVID-19, kerana ia bukanlah virus asing dan cara untuk mengawalnya sudah diketahui oleh pakar kesihatan.
Menurut Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge, lebih banyak penyelidikan diperlukan mengenai strain Clade 1b yang telah mencetuskan kecemasan kesihatan awam oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), namun beliau optimis bahawa penularan mpox boleh dikawal.
"Mpox bukan COVID-19 baharu. Kami tahu untuk mengawal mpox," katanya dalam taklimat media menerusi pautan video di sini.
Kluge juga menekankan bahawa risiko mpox kepada penduduk adalah rendah, dan tidak perlu ada tindakan berkurung seperti yang dilakukan semasa pandemik COVID-19.
"Adakah kita akan berkurung, (seolah-olah) ia adalah satu lagi COVID-19? Jawapannya jelas: 'tidak'," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun cara penularan mpox masih memerlukan kajian lanjut, penularan melalui titisan air liur terutama dalam fasa akut jangkitan adalah berpotensi, dan mengesyorkan penggunaan topeng separuh muka untuk mencegah jangkitan.
Pada Julai 2022, WHO telah mengisytiharkan darurat berhubung wabak antarabangsa bagi jenis mpox Clade 2b yang kurang teruk, yang kebanyakannya menjejaskan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, namun penggera itu telah ditarik balik pada Mei 2023.
Comments