top of page

Wisma MUIS patuhi sistem kebakaran, terima sijil perakuan bomba

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

24 Februari 2026


KOTA KINABALU: Bangunan Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) hari ini menerima Sijil Perakuan Bomba (FC), sekali gus menandakan pematuhan penuh terhadap piawaian keselamatan kebakaran yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, lebih RM15 juta diperuntukkan dalam tempoh lima tahun bagi menaik taraf bangunan berusia 40 tahun itu, khususnya untuk meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengunjung.


Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan kerja-kerja penambahbaikan sistem keselamatan kebakaran, penyediaan kelengkapan memadam kebakaran, selain pelaksanaan latihan keselamatan secara berterusan dalam kalangan kakitangan.

“Antara kerja yang dilaksanakan termasuk penggantian 12 lif baharu, pemasangan eskalator baharu, kerja-kerja pembaikan bumbung serta memenuhi keperluan teknikal yang ditetapkan oleh JBPM.


"Kita akan terus memastikan semua syarat dipatuhi khususnya penyediaan sistem dan peralatan keselamatan kebakaran serta kelengkapan memadam kebakaran," katanya ketika ditemui selepas menyaksikan penyerahan sijil perakuan bomba dari JBPM Sabah kepada MUIS, di sini, hari ini.


Penyerahan sijil diserahkan oleh Pengarah JBPM Sabah Mohd Pisar Aziz kepada Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad.


Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, bangunan berkenaan kali terakhir menerima sijil pada tahun 1990, namun proses pembaharuan memerlukan pematuhan terhadap syarat dan standard terkini yang ditetapkan JBPM.


“Sehubungan itu, amalan keselamatan menerusi latihan berterusan dalam kalangan kakitangan adalah penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.


Sementara itu, Mohd Pisar Aziz merakamkan penghargaan kepada MUIS atas komitmen mematuhi keperluan penguatkuasaan bangunan di bawah FC serta memastikan setiap aspek keselamatan kebakaran dipenuhi dengan sewajarnya.


Beliau turut berharap agar semua sistem serta peralatan yang dipasang akan sentiasa dipantau serta diselenggara secara berkala bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page