Wujudkan peruntukan baharu untuk pengeluaran geran tanah Anak Negeri – Ewon
- nabalunews
- 7 days ago
- 2 min read

14 April 2025
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar Kerajaan Negeri mewujudkan satu peruntukan khas bagi mempercepatkan pengeluaran geran tanah Anak Negeri yang telah disukat namun bukan di bawah Program PANTAS.
Katanya, ramai pemilik tanah di kawasan luar bandar seperti Kadamaian masih belum menerima geran tanah walaupun proses penyukatan telah lama dilaksanakan, sekali gus menyukarkan akses mereka kepada kemudahan kerajaan dan pembiayaan institusi kewangan.
“Banyak tanah Anak Negeri yang telah disukat tetapi bukan di bawah Program PANTAS masih belum menerima geran sehingga ke hari ini. Situasi ini memberi kesan kepada pemilik tanah yang ingin memohon pinjaman atau menggunakan tanah mereka secara sah dalam pelbagai urusan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Ewon berkata, sebagai langkah penyelesaian, Kerajaan Sabah wajar mempertimbangkan peruntukan khas atau membawa isu ini kepada Kerajaan Persekutuan melalui Projek Khas Ekonomi Anak Negeri Sabah agar proses pengeluaran geran dapat dipercepatkan.
“Saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri mewujudkan peruntukan baharu atau mengangkat keperluan ini ke peringkat Persekutuan bagi membantu Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) mengeluarkan geran tanah yang telah disukat,” katanya.
Pada masa yang sama, Ewon turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan Program PANTAS di Kg Kiau dan Kg Tambatuon, serta pelaksanaan seterusnya yang dijadualkan di Kg Sayap, Kg Terintidon dan Kg Melangkap.
Beliau turut menyarankan agar program tersebut diperluaskan ke lebih banyak kampung seperti Kg Lobong-Lobong, Kg Kaung, Kg Gensurai, Kg Lasau, Kg Lahanas dan Kg Podos pada tahun akan datang.
“Saya percaya JTU memerlukan kemudahan tambahan bukan sahaja untuk memperluaskan pelaksanaan Program PANTAS, tetapi juga bagi mempercepatkan pengeluaran geran tanah melalui proses biasa,” katanya.
Comments