top of page

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim adakan lawatan ke Brunei, perkukuh hubungan diraja

  • nabalunews
  • Oct 11, 2024
  • 1 min read

11 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dijadualkan mengadakan lawatan negara ke Brunei pada 13 hingga 15 Oktober ini, bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.


Lawatan ini bertujuan mempererat hubungan diraja antara Malaysia dan Brunei, yang telah terjalin selama 40 tahun.


Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan tersebut juga bertujuan memartabatkan budaya dan Kesultanan Melayu, yang menjadi akar hubungan antara kedua-dua negara. Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, turut menyertai rombongan diraja tersebut.


“Hubungan akrab Malaysia dan Brunei juga terserlah apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Julai lepas,” menurut kenyataan itu.


Semasa lawatan, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap, dan Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman. Mereka turut dijadualkan berangkat ke Majlis Santapan Minum Petang bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei.


Raja Permaisuri Agong juga dijadualkan mengunjungi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada hari kedua lawatan. Brunei menjadi negara ketiga yang dikunjungi Sultan Ibrahim bagi lawatan negara, selepas Singapura dan China, sejak baginda menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Januari lalu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page