top of page
  • Wartawan Nabalu News

Yayasan Bank Rakyat Bantu 60 Sekolah di Sabah

Ewon menyampaikan bantuan sekolah kepada salah seorang wakil sekolah.

19 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan bantuan persekolahan kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang telah pun bermula sejak Mac 2023.


Ia melibatkan 52 sekolah kebangsaan (SK) dan lapan sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah-sekolah ini menerima bantuan ini melalui program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Daripada 60 sekolah yang menerima bantuan, 31 sekolah di Kadamaian dan 29 sekolah di kawasan Perlimen Penampang.


Bantuan untuk sekolah di DUN Kadamaian telahpun diadakan kelmarin di Dewan SMK Narinang Kota Belud dan sumbangan untuk sekolah-sekolah Parlimen Penampang disampaikan hari ini.


Bantuan persekolahan ini melibatkan kumpulan pelajar dari kalangan Asnaf dan keluarga B40, bertujuan membantu meningkatkan akademik pelajar-pelajar dari sekolah tersebut untuk sesi persekolahan tahun 2023.


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Simbolik replika cek bantuan kepada sekolah-sekolah ini disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick di Dewan SMK St. Michael, Penampang, di sini, hari ini.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin, Pengetua Cemerlang SM St.Micheal Penampang Jennifer Asing.


Ketika berucap pada majlis itu, Ewon berharap, bantuan ini dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baru.

"Saya berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dan berharap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain, dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan.


"Syarikat-syarikat korporat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) perlu sama mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan," katanya.


Sementara itu Philip berkata, pemberian bantuan ini dipecahkan kepada dua lokasi yang telah dikenalpasti iaitu di sekitar Penampang dan di Kadamaian dalam dua majlis penyerahan yang berasingan.


“Bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharap sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pihak sekolah untuk membantu murid-murid serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat," katanya.


Katanya, usaha ini juga menjadi salah satu strategi dalam membantu masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat terutamanya di Sabah.


Bagi tahun 2022, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta melibatkan 87 lokasi di seluruh negara.

Comentarios


bottom of page