top of page
  • Wartawan Nabalu News

Yayasan Osimal, Big Heart Libaran bantu bina rumah mangsa banjir di Penampang


Tun Richard, Dr.Peter dan wakil Yayasan Osimal Sabah bergambar bersama keluarga mangsa banjir yang mendapat bantuan rumah daripada Yayasan Osimal dan Big Heart Libaran.

7 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Yayasan Osimal Sabah dan Big Heart Libaran menjalin kerjasama strategik bagi membantu membina rumah mangsa banjir di Penampang.


Kedua-dua badan bukan kerajaan itu bekerjasama mendapatkan sumbangan daripada pihak syarikat tempatan sebagai rakan strategik bagi menjaya Program Pembinaan Rumah Mangsa Banjir Sugud, Penampang yang terkesan akibat bencana banjir lumpur pada 15 September 2021.


Berdasarkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan, seramai 10 keluarga kehilangan rumah akibat banjir pada tahun lalu.


Justeru itu, pihak Yayasan Osimal dan Big Heart Libaran mengambil inisiatif untuk membantu keluarga yang terlibat melalui Program Pembinaan Rumah Mangsa Banjir di Kg Sugud.



Pengerusi Yayasan Osimal Tun Richard Malanjum berkata, sebelum ini pihaknya berjaya membina dua unit rumah untuk dua keluarga mangsa banjir di Penampang.


“Pada kali ini, dua keluarga lagi akan menerima bantuan pembinaan rumah baharu. Kos pembinaan rumah ini diusahakan sepenuhnya oleh Yayasan Osimal,” katanya.


Sementara itu, Penaung Big Heart Libaran Dr Peter Jr Naintin berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu dalam misi murni yang dimulakan oleh Tun Richard.



“Usaha kerjasama ini termasuk merekabentuk rumah baharu tersebut dengan kemudahan dua bilik, sebuah tandas, ruang tamu dan ruang makan atau dapur,” katanya.


Selain itu, Dr Peter juga telah mewujudkan kerjasama strategik ini untuk membolehkan syarikat tempatan mengambil peluang memberikan sumbangan berbentuk bahan binaan bagi menyiapkan rumah baharu ini.


"Tun Richard sangat berbesar hati dengan hasil kerja pembinaan rumah baharu yang turut dibantu oleh Cikgu Tay bersama Big Heart Libaran, Bluescope Lysaght dan Nippon Paint.


Dr.Peter dan Tun Richard semasa penyampaian kunci rumah kepada mangsa banjir di Penampang, baru-baru ini.

“Ini membuktikan kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting dalam membantu mangsa banjir membina rumah baharu mereka," katanya.


Beliau berkata, daripada 10 buah rumah yang akan dibina untuk mangsa banjir, dua buah rumah sudah disiapkan pada tahun lalu. Pada hari ini, Tun Richard membuat penyerahan kunci bagi sebuah rumah dan satu lagi akan disiapkan dalam bulan ini.

"Bagi pembinaan rumah yang selebihnya, kami memohon kepada mana-mana individu, organisasi mahu pun syarikat tempatan yang mempunyai kelebihan dan bermurah hati supaya bersama-sama kami membantu membina rumah baharu untuk mangsa banjir berkenaan.


"Kami menerima sebarang sumbangan berbentuk kewangan, bahan binaan, bahan terpakai dan boleh guna semula. Sumbangan tersebut boleh disalurkan terus dengan menghubungi Yayasan Osimal atau hubungi saya bagi wakil Big Heart Libaran," katanya.


Pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk membina kembali 10 buah rumah mangsa banjir di Kg. Sugud selepas lawatan pada September 2021. Namun, tiada satu keluarga pun yang mendapat bantuan pembinaan rumah tersebut daripada kerajaan sehingga kini.


Setakat ini, Yayasan Osimal dengan kerjasama pelbagai pihak NGO dan syarikat swasta telah berusaha dan menyiapkan empat buah rumah untuk mangsa banjir tersebut. Bagi enam buah rumah yang belum dibina lagi, pihak kami berharap pihak berwajib mahupun mana-mana NGO dan sukarelawan dapat membantu dalam usaha pembinaan rumah mangsa banjir dalam masa terdekat, katanya.

bottom of page