Yayasan Osimal serah sumbangan rumah kepada mangsa banjir Kg Sugud Yayasan Osimal serah sumbangan rumah kepada mangsa banjir Kg Sugud
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Yayasan Osimal serah sumbangan rumah kepada mangsa banjir Kg Sugud


Pengerusi Osimal Foundation Tun Richard Malanjum (tiga dari kiri) menyerahkan rumah tersebut kepada salah satu mangsa yang terjejas akibat banjir.

15 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seramai dua buah keluarga di Kg Sugud yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir telah menerima rumah hasil sumbangan orang ramai menerusi Yayasan Osimal, hari ini.


Pengerusinya, Tun Richard Malanjum berkata dua buah lagi keluarga bakal menerima sumbangan rumah sejurus pembersihan tanah ke atas tapak rumah mereka selesai.

Tun Richard Malanjum ketika melawat salah satu rumah mangsa yang telah siap dibina.

“Nasib baik juga ramai orang memberi bantuan kewangan untuk membina semula rumah mereka. Rumah mereka ini mengambil masa sepuluh hari untuk disiapkan dan kos belanja di bawah RM60,000.


“Terdapat empat buah rumah yang kita bina, tetapi pembinaan bagi dua buah lagi rumah masih belum dimulakan kerana pembersihan tanah masih belum selesai.


“Walau bagaimanapun, kita mempunyai peruntukan yang cukup untuk pembinaan keempat-empat rumah itu di mana penderma kita kebanyakkannya dari Semenanjung dan Sarawak,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis penyerahan itu, di sini.

Menurut Richard, selain rumah, mereka juga menerima sumbangan sistem pengairan yang dahulunya musnah akibat banjir yang kerap.


“Mereka mengalami ketiadaan air selama lebih kurang lapan hari. Kita menggunakan duit sumbangan untuk membeli paip dan membaiki sistem air graviti di sini secara gotong-royong,” katanya, sambil menambah sumbangan dalam bentuk makanan juga diberi kepada penduduk di situ.

Maidol

Maidol Paulin, 67, yang merupakan salah satu daripada penerima rumah berkenaan berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah tersebut kerana ianya merupakan sebuah bantuan yang amat bermakna dalam hidupnya.


Beliau berkata rumahnya hanyut sekelip mata semasa hujan lebat yang berterusan selama tiga jam pada September lalu.


“Kami lima sekeluarga cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke rumah jiran dan pada masa yang sama ingin merakam kejadian itu menggunakan telefon pintar, namun apabila kami toleh ke belakang, rumah kami sudah hilang dihanyutkan banjir.


“Setelah kejadian itu, kami menjadi tidak ketentuan dan terpaksa menumpang di rumah anak buah saya yang berdekatan,” katanya.

Juraimie

Sementara itu, Juraimie Ahmad dan keluarganya terpaksa beratapkan khemah setelah rumah mereka juga dihanyutkan banjir.


“Kami memungut kem-kem yang hanyut dari banjir, dan membina satu khemah untuk kami tidur dekat tapak rumah kami yang hanyut.


“Inilah pertama kali kejadian banjir sebegini terjadi. Ada yang mengatakan bahawa banjir ini terjadi akibat pembalakan dan sebagainya,” kata lelaki yang berusia 35 tahun itu.


Tambahnya lagi, beliau sangat bersyukur terhadap tindakan pantas Richard untuk membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan itu.


Juraimie yang mempunyai empat orang itu mendakwa ada pihak kerajaan yang turun padang untuk melawat kawasan itu dan menabur janji untuk membuat sesuatu, namun penduduk tidak mendapat apa-apa selain bantuan kewangan sebanyak RM1,000.

bottom of page