Yayasan Usaha Maju (YUM) komited lahirkan lebih ramai usahawan berjaya di Sabah
- Wartawan Nabalu News
- Jul 22, 2024
- 2 min read

22 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu
SANDAKAN: Yayasan Usaha Maju (YUM) terus komited dalam melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di negeri ini.
Pengarah Urusan YUM Sabah, Roseli Sindong berkata pihaknya juga akan terus mempergiatkan penyertaan kumpulan sasar khususnya golongan B40 dalam memastikan mereka berupaya menjana serta meningkatkan pendapatan melepasi garis kemiskinan.
Katanya, YUM menawarkan pelbagai perkhidmatan serta kemahiran selain pinjaman perniagaan yang menawarkan pelbagai produk pinjaman mengikut tahap pencapaian masing-masing yang terdiri daripada pinjaman kategori asas khususnya menerusi Skim Pinjaman Am (SPA) dengan nilai sehingga maksimum RM20,000.
Ini diikuti oleh kategori usahawan menerusi Skim Pinjaman Usahawan (SPU) sehingga maksimum RM100,000 dan kategori usahawan kecil dan sederhana menerusi Skim Pinjaman Usahawan Kecil dan Sederhana (SPKS) sehingga maksimum RM250,000.
"YUM turut membuka peluang kepada golongan siswazah yang layak untuk memohon pinjaman di bawah Skim Pinjaman Usahawan Siswazah (SPUS) sehingga maksimum RM250,000," katanya.
"Selain daripada pinjaman perniagaan, YUM juga menawarkan pinjaman bertujuan meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup seperti pinjaman membaiki rumah di bawah Skim Pinjaman Membaiki Rumah (SPBR) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM20,000 dan pinjaman Pendidikan di bawah Skim Pinjaman Pendidikan (SPPD) sehingga RM3,000," katanya.
Roseli berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Anugerah Usahawan Yayasan Usaha Maju Anjuran YUM Cawangan Sandakan dengan kerjasama Jawatankuasa Ketua Pusat YUM (JKEPYUM) 2023-2024 di Sabah Hotel, di sini.
Turut hadir, Pengurus Pembangunan Usahawan YUM, Daisy Livinu, Pengurus YUM Kawasan Sandakan, Hilary Saigol Duari, Pengurus YUM Cawangan Sandakan, Rasdizal Rashid dan Pengerusi Jawatankuasa Ketua Pusat YUM Cawangan Sandakan, merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana, Helda Bai.
Seramai 107 usahawan atau ahli YUM diraikan pada majlis yang turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kepada penerima yang juga usahawan YUM cemerlang.
Turut disampaikan anugerah kepada Pusat Cemerlang dan Penyelia Pinjaman (PP) Pengendali Cemerlang.
Dalam perkembangan sama, Roseli berkata, selepas pandemik COVID-19, YUM mencatatkan peningkatan jumlah penyerahan pinjaman kepada ahli-ahli di mana pada tahun 2023, YUM meluluskan pinjaman berjumlah RM58.77 juta melibatkan 9,552 orang peminjammenerusi pelbagai produk yang ditawarkan.
Bagi enam bulan pertama tahun ini pula, YUM juga telah meluluskan pinjaman sebanyak RM30.84 juta.
Pada penghujung tahun ini, ia turut menjangkakan penyerahan pinjaman mampu mencecah nilai melebihi RM60 juta.
Comments