top of page

YBR anugerah pelajar cemerlang SPM dan STPM di Tenom

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 21, 2023
  • 2 min read

21 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Sebanyak 63 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari lapan buah sekolah menengah di sekitar Tenom telah menerima anugerah dan insentif daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebagai penghargaan atas keputusan cemerlang mereka.


Anugerah dan insentif itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Junik Bajit dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2022 yang berlangsung di Hotel Perkasa, Tenom Sabah, baru-baru ini.


Junik berkata, pemberian anugerah dan insentif ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan murid-murid di Tenom khususnya yang berada di luar bandar.


"Diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan pelajar untuk memulakan pengajian di peringkat tertier serta sebagai pembakar semangat bagi meneruskan kejayaan untuk meningkatkan sosioekonomi keluarga ke peringkat seterusnya," katanya.


Tambah beliau, usaha ini juga merupakan salah satu inisiatif YBR dalam memastikan masyarakat sentiasa mendapat pendidikan yang terbaik serta membantu melahirkan masyarakat yang lebih berilmu terutamanya di Sabah.


Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.


Selain itu, Junik juga berkata bahawa empat pelajar yang masih meneruskan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di sekitar Sabah turut menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) YBR sebagai bantuan untuk memulakan pengajian atau sebagai kegunaan menguruskan kelengkapan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian.


Beliau berkata, sejak Januari tahun ini sehingga kini, YBR sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM237,000 menerusi BAP bagi membantu pelajar dari keluarga B40 untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).


Junik berharap dengan pemberian anugerah dan insentif ini, ia akan dapat memberi dorongan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk terus berusaha dan berjaya dalam bidang akademik dan kerjaya.

댓글


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page