YBR bantu 812 pelajar Orang Asli di Slim River
top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR bantu 812 pelajar Orang Asli di Slim River

1 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SLIM RIVER (PERAK): Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan persekolahan sejumlah RM40,600 kepada seramai 812 murid sekolah orang asli, di sini.


Bantuan persekolahan itu disampaikan pada Majlis “Back To School” Masyarakat Orang Asli Perak, di SK Pos Tenau, Slim River yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, hari ini.


Ketika ditemui pemberita kemudian, Ewon berkata, YBR telah melaksanakan bantuan persekolahan sejak tahun 2015 bagi meringkan bebanan ibu bapa atau penjaga dalam membuat persiapan anak-anak memulakan dan meneruskan sesi persekolahan.


Beliau berkata, bantuan berbentuk wang tunai itu diberikan khusus kepada keluarga B40 bagi membantu pembelian kelengkapan persekolahan anak-anak seperti baju, beg, kasut sekolah dan sebagainya.


“Saya ingin melihat Yayasan Bank Rakyat terus diperkasakan dan seterusnya dapat membantu lebih ramai lagi murid-murid yang memerlukan bantuan persekolahan di seluruh negara.


“YBR bukan sahaja memberikan bantuan kepada sekolah rendah dan menengah tetapi menyediakan pembiayaan pengajian boleh ubah kepada pelajar di institut pengajian tinggi,” katanya.


Ewon berharap, program seumpama itu diteruskan dan dana bantuan persekolahan dapat ditambah pada masa akan datang bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaatnya.


“Ini selaras dengan wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan matlamat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan bermula dengan penyaluran bantuan pendidikan atau pembiayaan pengajian kepada murid-murid yang memerlukannya terutama di kalangan masyarakat B40,” katanya.


Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak Dato’ Suki Mee.

bottom of page