YBR sumbang RM265,000 bantuan awal persekolahan kepada 30 sekolah di kawasan Penampang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

YBR sumbang RM265,000 bantuan awal persekolahan kepada 30 sekolah di kawasan Penampang


Ewon bergambar bersama pengetua dan guru-guru selepas majlis itu.

19 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Sebanyak 30 buah sekolah menengah, sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah Penampang menerima sumbangan bantuan awal persekolahan sejumlah RM265,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).


Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di SK St.Paul Kolopis, Penampang, di sini, hari ini.


Ewon berharap, sumbangan itu dapat membantu meringankan bebanan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu pendidikan murid-murid sekolah masing-masing.


“Ini merupakan komitmen saya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membawa perkhidmatan kementerian dan agensi-agensi serta organisasi yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya.


“Perkhidmatan itu harus sampai kepada rakyat di seluruh negara dan kita mulakan di Kota Belud kelmarin. Kita teruskan di Penampang pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis itu.


Ewon menyampaikan sumbangan YBR kepada salah seorang wakil sekolah.

Ewon berkata, sumbangan yang sama juga telah diberikan kepada sekolah-sekolah di Penampang pada tahun lalu.


“Saya berharap tidak ada sekolah yang tercicir dalam pemberian sumbangan ini. Kita juga telah memberikan dana tambahan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar pendidikan khas supaya murid-murid dan guru-guru yang bertugas dalam pendidikan khas dapat menerima manfaat yang sama,” katanya.


Beliau berkata, selain 10 agensi di bawah kementeriannya, YBR dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) juga terletak di bawah kementerian itu melalui Institut Koperasi Malaysia (IKMa).


Ewon ketika berucap pada majlis itu.

“Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada universiti ini, saya menyeru pengetua-pengetua, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru yang ingin melanjutkan pengajian peringkat master atau PhD dalam pentadbiran keusahawanan atau koperasi, bolehlah melanjutkan pengajian di UKKM,” katanya.


Sementara itu pengetua dan guru-guru besar sekolah yang menerima sumbangan itu merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Ewon dan YBR atas keprihatinan terhadap keperluan pelajar di kawasan Penampang.


Pengetua SM St.Micheal Penampang Jennifer Asing berkata, pemberian sumbangan itu membuktikan Datuk Ewon begitu prihatin terhadap keperluan pelajar dan sekolah.


Jennifer Asing

“Kami akan gunakan sumbangan ini untuk menjayakan pelbagai aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), antaranya program kecemerlangan akdemik, ko-kurikulum dan dari sahsiah murid,” katanya.


Sementara itu Guru Besar SK Babagon Lawrence George berkata, bantuan itu akan digunakan untuk melaksanakan program yang telah dirancang tahun ini termasuk membantu murid sekolah yang memerlukan perbelanjaan ketika mengikuti aktiviti di luar sekolah.


Lawrence

“Selain itu, kita juga akan menggunakan sumbangan ini untuk membina kemudahan di kawasan sekolah untuk manfaat murid dan guru-guru,” katanya.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pemangunan Murid mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Robert John, pengetua-pengetua dan guru-guru besar.

bottom of page