top of page

YDP Agong berangkat ke istiadat sambutan negara lawatan Sultan Brunei

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

ree

26 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke istiadat sambutan negara sempena keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Negara, hari ini.


Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah yang diiringi Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah disambut Sultan Ibrahim dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.


Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, lawatan negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia merupakan yang ketiga selepas kunjungan Presiden Republik Rakyat China dan Presiden Republik Indonesia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.


“Istiadat sambutan negara yang diadakan di Anjung Utama Istana Negara dimulakan dengan lagu kebangsaan negara Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli tembakan meriam 21 das dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja.


“Sultan Hassanal Bolkiah turut berkenan mengadakan kunjungan mengadap bersama Sultan Ibrahim sebelum berangkat menyaksikan majlis persembahan cendera kenangan di Dewan Seri Maharaja,” menurut kenyataan itu.


Yang di-Pertuan Agong turut berkenan meraikan dan memberi penghormatan kepada Sultan Brunei serta delegasi dalam satu majlis Jamuan Negara di Dewan Santapan Utama.


Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Komunikasi selaku Menteri Pengiring Lawatan Negara Brunei, Ahmad Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page