top of page

YPNM gesa kerajaan tambah bilangan jenis ikan segar ke kawasan luar bandar

  • nabalunews
  • Sep 4, 2024
  • 2 min read

4 September 2024


KOTA KINABALU: Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) David Chan menyeru kerajaan untuk menambah bilangan jenis ikan segar yang dihantar ke kawasan luar bandar.


Jelas beliau, bekalan ikan segar yang dihantar ke kawasan tersebut masih terhad dan tidak memenuhi inisiatif kerajaan untuk menyediakan bekalan ikan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah melalui program ‘Ikan Rakyat’.


Menurut David Chan, hanya beberapa jenis ikan yang lebih murah seperti Basung, Lumahan, Kayu, dan Mata Merah yang dihantar ke kawasan luar bandar.


"Walaupun bekalan ikan ini sampai kepada penduduk luar bandar, keadaan ini menimbulkan persoalan mengapa masyarakat luar bandar tidak menerima bekalan ikan yang lebih berkualiti seperti Bawal Putih, Tenggiri, dan Kerapu," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menegaskan bahawa semua penduduk berhak mendapatkan akses yang sama terhadap pelbagai pilihan makanan yang berkhasiat, termasuk bekalan ikan yang berkualiti.


"Inisiatif kerajaan perlu diperluas dan tidak terhad kepada beberapa jenis ikan sahaja bagi memastikan masyarakat luar bandar juga boleh menikmati ikan yang lebih berkualiti sama seperti apa yang dinikmati oleh rakyat di kawasan bandar," tambahnya.


David Chan turut menyatakan bahawa pendekatan ini akan menunjukkan komitmen terhadap keadilan dan kesaksamaan, selain mengukuhkan idea bahawa semua rakyat Malaysia, sama ada di bandar atau luar bandar, dihargai secara sama rata.


Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, telah melancarkan program ‘Ikan Rakyat’ bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat akses yang lebih baik kepada spesies ikan ‘mampu milik’.


Program ini bertujuan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat bekalan ikan yang mencukupi dan berkualiti.


Spesies ikan yang termasuk dalam program ini adalah ikan basung, lumahan, kayu, ikan mata merah dan lain-lain yang harganya mampu dibeli. Istilah ‘Ikan Rakyat’ merujuk kepada jenis ikan yang sering dimakan oleh majoriti rakyat kerana ia lebih murah dan mudah didapati berbanding jenis-jenis ikan yang lebih mahal seperti ikan salmon dan ikan merah.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page