top of page

Search Results

24013 results found with an empty search

  • MALAYSIA, ARAB SAUDI AKAN TUBUH JAWATANKUASA STRATEGIK PERINGKAT TINGGI PERKUKUH KERJASAMA

    18 OKTOBER 2020 PUTRAJAYA: Malaysia dan Arab Saudi telah bersetuju membentuk Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama. Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud akan menjadi pengerusi bersama jawatankuasa itu. Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi bersetuju bahawa selain meningkatkan usaha bersama dalam memerangi pandemik COVID-19, tumpuan harus diberikan kepada kerjasama dalam era pasca pandemik yang akan menjadi fokus Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi. "Ini penting kerana COVID-19 bukan hanya memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat kita tetapi juga menjejaskan ekonomi, sekuriti makanan dan rangkaian bekalan selain perkhidmatan sosial," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini. Oleh itu, Hishammuddin berkata melalui jawatankuasa tersebut, Malaysia dan Arab Saudi akan menjalin kerjasama erat bagi memastikan pemulihan ekonomi kedua-dua negara susulan kemerosotan ekonomi global. Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi juga akan bekerjasama rapat untuk menstabilkan sekuriti makanan serta mencergaskan semula rangkaian bekalan antara kedua-dua negara selain membantu rakyat yang berdepan kesan krisis COVID-19. Kedua-dua negara akan turut memulakan perbincangan awal mengenai Kuota Haji bagi 2021, jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan menunaikan Umrah serta prosedur operasi standard (SOP) mengerjakan ibadat Haji dan Umrah, jika dibenarkan, sebelum vaksin COVID-19 ditemui. "Memandangkan Arab Saudi dijangka melonggarkan sekatan sempadan antarabangsanya mulai 1 Jan 2021, keputusan ini membayangkan bahawa ibadat Haji dan Umrah mungkin dibenarkan bagi jemaah antarabangsa, dengan satu set SOP yang telah ditentukan," katanya. Bagaimanapun, Hishammuddin berkata meskipun belum ada kata putus daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung ibadat Haji dan Umrah serta kaedah menunaikannya, kedua-dua negara bersetuju bahawa perbincangan serta perancangan awal melalui Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi adalah penting supaya mereka akan lebih bersedia selepas sebarang keputusan dibuat pada masa akan datang. Katanya beliau amat menghargai komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk bersama-sama menubuhkan jawatankuasa itu dan percaya ia akan memanfaatkan kedua-dua negara. Hishammuddin berkata pada awal tahun ini, Arab Saudi telah menyumbang lebih tujuh juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia, menjadikan negara itu penyumbang terbesar yang menghulurkan bantuan berkaitan COVID-19 untuk negara ini. - BERNAMA

  • COVID-19: TUJUH KEMATIAN PADA 18 OKT, ENAM DI SABAH, SATU DI SELANGOR

    19 OKTOBER 2020 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Kes kematian akibat Covid-19 berlaku setiap hari sejak beberapa hari ini dan kelmarin (18 Okt) ia mencatatkan jumlah kematian tertinggi dalam tempoh satu hari. Enam kes berlaku di Sabah iaitu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent Sandakan. Satu lagi kes berlaku di Pusat Perubatan Selangor. Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 di Malaysia sejak pandemik itu melanda negara ini sebanyak 187 kes iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. “Kes kematian ke-181 membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth. “Kes kematian ke-183 di hospital yang sama juga membabitkan seorang lelaki warganegara berusia 57 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. Noor Hisham berkata, dua kes kematian di Hospital Tawau membabitkan seorang wanita tempatan berumur 70 tahun mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan lelaki bukan warganegara berusia 41 tahun. “Kes kematian ke-184 dan kes ke-186 di Hospital Duchess of Kent Sandakan membabitkan wanita bukan warganegara berusia 55 tahun menghidap penyakit darah tinggi dan lelaki warganegara berusia 44 tahun mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia. “Kes kematian ke-187 pula membabtkan seorang wanita warganegara berusia 46 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Selangor,” katanya. Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

  • SABAH TERUS CATAT JUMLAH TERTINGGI KES BAHARU COVID-19

    19 OKTOBER 2020 KOTA KINABALU: Sabah terus mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi dengan 702 kes atau 80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan 871 kes dilaporkan di seluruh negara, kelmarin. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana lebih ramai individu disaring di lapangan. “Sejak bermulanya pandemik, sejumlah 251,030 individu telah disaring di Sabah. “Daripada jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah, 49 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Penjara Kepayan, 81 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan 572 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin. Noor Hisham berkata, daripada 871 kes baharu yang dilaporkan di seluruh negara, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan tiga warganegara dan dua bukan warganegara. Beliau berkata, setakat 18 Oktober (kelmarin), kes kumulatif Covid-19 di Sabah ialah sebanyak 7,439 atau 36.3 peratus daripada jumlah keseluruhan di Malaysia.

  • ALLIANCE BANK TUTUP CAWANGAN TAWAU SELEPAS DUA KAKITANGAN POSITIF COVID-19

    19 OKTOBER 2020 KUALA LUMPUR: Alliance Bank Malaysia Bhd terpaksa menutup cawangan Tawau selepas dua kakitangannya dijangkiti COVID-19. Bank itu dalam satu kenyataan berkata kedua-dua pekerja itu kini sedang menjalani rawatan perubatan di hospital kerajaan yang dilantik. "Pihak bank terpaksa menutup cawangan Tawau dan kawasan e-Lobi pada 16 Okt 2020, dan semua kakitangannya menjalani ujian saringan COVID-19 berikutan pengesahan bahawa salah seorang pengawal keselamatannya telah diuji positif. "Cawangan di Tawau dan e-Lobi bank sedang dibersihkan dan disanitasi," katanya. Cawangan tersebut akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak. - Bernama

  • GURU, PELAJAR SMK LABUAN DIMINTA JALANI UJIAN SARINGAN

    19 OKTOBER 2020 LABUAN: Tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, yang mengajar sesi petang di Blok K (Fasih 3) dari 1 hingga 16 Okt ini serta semua pelajar sesi tersebut diminta menjalani ujian saringan COVID-19. Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata ini susulan kes positif COVID-19 melibatkan seorang pelajar sekolah tersebut. “Sekiranya peringatan (ujian COVID-19) dikeluarkan (kepada sekolah atau individu), ia bermakna wujud kes positif jangkitan virus itu,” katanya kepada Bernama di sini, kelmarin. Jabatan Kesihatan Labuan telah mengeluarkan peringatan kepada pihak sekolah berkenaan Jumaat lalu dan ujian itu dijadual hari berikutnya atau secepat mungkin dan maklumat itu dikongsi dengan ibu bapa dan orang awam. Terdahulu, dilaporkan dua pelajar dari SMK Mutiara dan kluster Bah Bangat diikuti seorang pelajar SMK Pantai dan seorang murid Sekolah Kebangsaan Kerupang dijangkiti COVID-19. Ketiga-tiga sekolah tersebut diarah ditutup sementara untuk tujuan pembersihan dan kerja pembasmian kuman sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan semula. – Bernama

  • AMARAN CUACA PERINGKAT WASPADA DI SABAH HARI INI DAN ESOK

    19 OKTOBER 2020 KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) kelmarin mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Sabah pada hari ini dan Selasa (20 Okt). Dalam kenyataan MetMalaysia malam ini, jabatan itu memaklumkan bahawa kawasan berkenaan termasuk bahagian pantai barat Sabah, Sandakan (Daerah Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat. – Bernama

  • 702 KES DI SABAH, CAMPURAN KES BARU DAN KES TERTANGGUH

    19 OKTOBER 2020 KOTA KINABALU: Sebanyak 702 kes COVID-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini adalah campuran kes baru dikesan dan kes tertangguh yang baru diperoleh keputusan ujian, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun. Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan pecahan jumlah kes masing-masing kerana ia masih belum ditentukan serta memerlukan proses yang agak rumit. Katanya pada awal bulan ini sebanyak 18,000 ujian COVID-19 masih belum diperoleh keputusan ujiannya atau tertangguh dan hasil tindakan pantas dilaksanakan semua pihak terutama Kementerian Kesihatan (KKM) jumlah itu dapat dikurangkan kepada 11,000 pada masa ini. "Tetapi dalam masa dua tiga hari ini kami jangka jumlah kes adalah pada angka yang tinggi kerana kami sudah melaksanakan ujian COVID-19 ini pada kadar lebih cepat dan banyak ujian yang backlog ini kami akan ketahui keputusannya. "Justeru orang ramai diminta supaya tidak panik dan terus mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) untuk kita atasi COVID-19 ini. Situasi di Sabah masih terkawal dan kita masih dapat menampung keperluan untuk menghadapi penyakit ini," katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini, kelmarin. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata Sabah kekal mencatatkan jumlah kes baharu harian COVID-19 tertinggi di negara ini dengan 702 kes dilaporkan, atau 80.6 peratus daripada keseluruhan 871 kes yang direkodkan di Malaysia. Masidi berkata jumlah angka tinggi itu juga antara lain disebabkan langkah ujian saringan yang diperluas dan lebih bersasar di 15 daerah zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu, Semporna, Kunak, Tuaran, Penampang, Putatan, Kota Kinabalu, Sandakan, Papar, Kota Kelud, Keningau, Tambunan, Beaufort dan Ranau. "Orang ramai tidak perlu risau kerana langkah pencegahan penularan jangkitan dilaksana Jabatan Kesihatan Negeri Sabah iaitu 1,577 orang telah dikuarantin di pusat kuarantin negeri ini, manakala 29,470 telah diperintah untuk kuarantin di rumah," katanya. Sementara itu, beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dijangka memulakan semula tugasnya pada pertengahan minggu depan selepas disahkan bebas COVID-19 dan dibenar keluar Hospital Queen Elizabeth di sini, kelmarin. - Bernama

  • ISU KESIHATAN DI BAWAH KEMENTERIAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT KECUALI COVID-19

    19 OKTOBER 2020 KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah bersetuju supaya tugas dan tanggungjawab Kementerian Kesihatan di Sabah diletak di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat kecuali hal-hal yang melibatkan pengurusan COVID-19. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga jurucakap rasmi berkaitan COVID-19 bagi Sabah, berkata pihaknya yang diketuai Ir Shahelmey Yahya mengendalikan perkara berkaitan bantuan makanan kepada penduduk terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan. Menteri Kewangan II itu berkata persetujuan itu telah dicapai dalam mesyuarat Kabinet minggu lepas. Ketiadaan jawatan Menteri Kesihatan dalam Kabinet Sabah tidak bermakna kerajaan negeri mengabaikan kesihatan rakyat di negeri itu, katanya pada sidang media di Wisma Innoprise di sini, kelmarin. Masidi berkata kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan kerajaan pusat yang mempunyai kuasa undang-undang selain Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID negeri bagi menangani virus itu. Beliau juga berkata setakat ini, hospital kerajaan di negeri itu mempunyai set peralatan perlindungan diri (PPE) yang mencukupi sekali gus menafikan dakwaan bahawa terdapat kekurangan PPE di Hospital Ranau seperti yang tular dalam media sosial. "Sekiranya terdapat kekurangan PPE, hospital lain di negeri ini akan segera menyalurkan bantuan kepada hospital yang memerlukan bantuan segera termasuk daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia," katanya. Dalam kenyataan media yang diedarkan selepas sidang media itu, Masidi memaklumkan bahawa seramai 26,379 kakitangan di bawah JKNS sedang mengendalikan kes COVID-19 di Sabah. Pasukan itu termasuk 255 petugas perubatan kesihatan awam dari Semenanjung dan Sarawak. – Bernama

  • COVID-19: KKM MAHU PELAKSANAAN PKPB DIPERKETAT

    19 OKTOBER 2020 PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mahu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah diperketat bagi mengekang penularan COVID-19. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu akan diusulkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. “… kita perketatkan dan benarkan sektor ekonomi sahaja,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, di sini kelmarin. Katanya segala bentuk perhimpunan melibatkan jumlah peserta yang besar perlu dikurangkan agar penularan COVID-19 dapat diputuskan. Pelaksanaan PKPB yang antara lain menyaksikan institusi pendidikan ditutup selain majikan diminta aktifkan pelan bekerja dari rumah dan penggiliran bagi pekerja mereka, berkuat kuasa di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sejak 14 Okt lalu selama 14 hari, sementara di Sabah bermula dari 12 hingga 26 Okt ini. Semalam, Mesyuarat Khas MKN memutuskan pemilik dan pengusaha fasiliti sukan komersial dalam kawasan PKPB iaitu padang bola sepak komersial, gimnasium dan gelanggang futsal serta dewan badminton komersial, dibenar beroperasi semula mulai 19 Okt ini (hari ini). Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi penjara akan dikaji semula bagi memastikan jangkitan di tempat tersebut dapat dikurangkan. KKM bersama-sama Jabatan Penjara akan perkemaskan SOP itu, katanya. Ditanya sama ada virus mutasi D614G dikesan dalam kluster di Selangor, Dr Noor Hisham berkata kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) memerlukan masa satu hingga dua minggu lagi sebelum dapat mengenal pasti sama ada D614G turut dikesan di negeri itu. IMR sebelum ini mengesan virus mutasi tersebut dalam Kluster Sivagangga di Kedah, seterusnya di Sabah, Kluster Sungai (Kedah) dan Kluster Ulu Tiram di Johor, katanya. Jelasnya virus mutasi itu menyebabkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi, sekali gus meningkatkan risiko penularan lebih meluas. Sehubungan itu, beliau mengulangi nasihat agar orang ramai memastikan pematuhan SOP pada sepanjang masa termasuk pemakaian pelitup muka, kerap mencuci tangan serta mengelakkan perhimpunan. Menurutnya ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan, KKM berjaya mengawal penularan pandemik dalam tempoh empat minggu kerana semua rakyat duduk di rumah. Malah katanya walaupun KKM terlewat 10 hari melaksanakan intervensi bagi Kluster Sri Petaling, penularan daripada kluster itu dapat dikawal dalam tempoh 100 hari. – Bernama

  • JANGAN PANDANG RINGAN SOP, PKPP MASIH BERKUAT KUASA SELURUH NEGARA - ISMAIL SABRI

    19 OKTOBER 2020 KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terutama dari segi pemakaian pelitup muka kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa di seluruh negara. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun beberapa lokaliti dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) dan Bersyarat (PKPB), ini tidak bermakna kawasan lain bebas daripada undang-undang. Katanya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa selagi PKPP dilaksanakan di seluruh negara dan tindakan boleh diambil jika berlaku pelanggaran perintah. “Walaupun kita isytiharkan PKPB dan PKPD di beberapa lokasi atau lokaliti, seluruh Malaysia masih lagi dalam PKP, tapi dalam keadaan yang agak longgar apabila kita memperkenalkan PKPP. Selagi PKP, sama ada Bersyarat, Diperketatkan atau Pemulihan, ia masih lagi tertakluk di bawah Akta 342. “Kesalahan yang disenaraikan di bawah akta tersebut boleh dikuatkuasakan dan tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan, kelmarin. Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata undang-undang itu bukan hanya terpakai kepada individu yang ingkar tetapi juga premis perniagaan yang boleh dikenakan tindakan seperti dikompaun ataupun diarah tutup. Sementara itu, beliau berkata polis menahan 661 individu atas kesalahan ingkar PKPP semalam dengan 632 dikompaun, 27 direman dan dua orang dijamin. “Jumlah 661 orang (yang ditahan semalam) bermakna meningkat hampir sekali ganda daripada tangkapan atau penahanan hari sebelumnya (467 orang),” katanya. Katanya daripada jumlah itu, tidak memakai pelitup muka menjadi kesalahan tertinggi dengan 223 individu, manakala gagal mematuhi penjarakan fizikal seramai 191 orang, gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (112), langgar syarat atau perintah di kawasan PKPB (75), aktiviti di pusat hiburan (45) dan lain-lain (15). Operasi Benteng (Op Benteng) pula menyaksikan 72 pendatang tanpa izin ditahan semalam selain rampasan 35 kenderaan darat. Ismail Sabri berkata sejak pelaksanaan Op Benteng pada Mei lalu, seramai 497 pendatang tanpa izin dan 28 tekong telah ditangkap di Sarawak. Dalam pada itu, beliau berkata seramai 50,254 individu pulang ke tanah air bagi tempoh 24 Julai hingga semalam, dan daripada jumlah itu, seramai 8,151 orang sedang menjalani kuarantin wajib dan 381 lagi dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala 41,722 individu didiscaj dan dibenarkan pulang. – Bernama

  • COVID-19: EMPAT LAGI KLUSTER BAHARU, KLUSTER AKTIF KINI 85

    19 OKTOBER 2020 PUTRAJAYA: Empat lagi kluster baharu COVID-19 dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan kluster bagi pandemik itu ialah 160, dengan kluster aktif kini sebanyak 85. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster terbabit ialah Kluster Bah Layangan, Kluster Alma, Kluster Auto dan Kluster Penjara Kepayan. “Kes indeks bagi Kluster Bah Layangan (iaitu kes ke-15,654) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Okt dan dimasukkan ke Hospital Labuan. Kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke daerah yang berisiko tinggi. “Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 12 lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 142 individu telah disaring dengan 13 kes dikesan positif, 67 individu negatif dan 62 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19, kelmarin. Mengenai Kluster Alma, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dengan kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-18,066) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 14 Okt lepas dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang. Beliau berkata saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 183 individu disaring dengan tujuh kes dikesan positif, 43 individu negatif manakala 133 individu masih menunggu keputusan. Kluster Auto pula melibatkan daerah Petaling, Kuala Langat dan Klang (Selangor) serta daerah Seremban (Negeri Sembilan) dengan kes indeks (iaitu kes ke-19,354) dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 15 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. “Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lapan lagi kes positif COVID-19. Sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak sembilan kes dikesan positif COVID-19. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. Kluster keempat yang dilaporkan kelmarin iaitu Kluster Penjara Kepayan dikenal pasti di Kota Kinabalu dengan kes indeks positif (iaitu kes ke-19,628) hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth pada 14 Okt lepas. Dr Noor Hisham berkata saringan kontak rapat mendapati 48 lagi kes positif COVID-19 dan sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 170 individu telah disaring dengan 49 kes dikesan positif dan 121 individu negatif. - Bernama

  • KES KESELURUHAN POSITIF COVID-19 KINI LEBIH 20,000

    19 OKTOBER E2020 PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu harian COVID-19 di Malaysia mencatatkan rekod tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 871 kes dilaporkan kelmarin, menjadikan angka keseluruhan sebanyak 20,498 kes. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus tersebut pada 7,049 kes. Beliau berkata tujuh kematian dilaporkan setakat 12 tengah kelmarin, menjadikan kes kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini 187 kes. Bagaimanapun, Malaysia melaporkan berita baik dengan kes pulih harian tertinggi pada 701 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 13,262 kes atau 64.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. "Sebanyak 97 kes (11.1 peratus) kelmarin ialah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman, Kluster Penjara Seberang Perai dan Kluster Penjara Kepayan. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat. "Negeri-negeri di Lembah Klang pula merangkumi 9.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Negeri Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 702 kes (80.6 peratus)," katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di sini, kelmarin. Dr Noor Hisham berkata daripada 871 kes baharu yang dilaporkan, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara termasuk tiga warganegara, yang semuanya di Selangor iaitu masing-masing dua kes dari India dan Nepal serta satu dari Singapura. “Daripada 866 kes penularan di dalam negara, dua kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 sebanyak 443 kes,” katanya. Memperincikan jumlah kes penularan dalam negara, beliau berkata selain Sabah dengan 702 kes, Selangor (72), Pulau Pinang (45), Perak (10), Labuan dan Kedah (masing-masing 9 kes), Kuala Lumpur (7), Sarawak (5), Negeri Sembilan (3), Terengganu (2), manakala Johor serta Melaka masing-masing satu kes. Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 28 memerlukan bantuan pernafasan. Selain itu, Kementerian Kesihatan juga mengenal pasti empat kluster baharu, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 85. - Bernama

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page