MALAYSIA, ARAB SAUDI AKAN TUBUH JAWATANKUASA STRATEGIK PERINGKAT TINGGI PERKUKUH KERJASAMAMALAYSIA, ARAB SAUDI AKAN TUBUH JAWATANKUASA STRATEGIK PERINGKAT TINGGI PERKUKUH KERJASAMA
top of page
  • nabalunews

MALAYSIA, ARAB SAUDI AKAN TUBUH JAWATANKUASA STRATEGIK PERINGKAT TINGGI PERKUKUH KERJASAMA


18 OKTOBER 2020


PUTRAJAYA: Malaysia dan Arab Saudi telah bersetuju membentuk Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau dan Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal Farhan Al-Saud akan menjadi pengerusi bersama jawatankuasa itu.

Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi bersetuju bahawa selain meningkatkan usaha bersama dalam memerangi pandemik COVID-19, tumpuan harus diberikan kepada kerjasama dalam era pasca pandemik yang akan menjadi fokus Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi. 


"Ini penting kerana COVID-19 bukan hanya memberi kesan negatif terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat kita tetapi juga menjejaskan ekonomi, sekuriti makanan dan rangkaian bekalan selain perkhidmatan sosial," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Oleh itu, Hishammuddin berkata melalui jawatankuasa tersebut, Malaysia dan Arab Saudi akan menjalin kerjasama erat bagi memastikan pemulihan ekonomi kedua-dua negara susulan kemerosotan ekonomi global.

Beliau berkata Malaysia dan Arab Saudi juga akan bekerjasama rapat untuk menstabilkan sekuriti makanan serta mencergaskan semula rangkaian bekalan antara kedua-dua negara selain membantu rakyat yang berdepan kesan krisis COVID-19.


Kedua-dua negara akan turut memulakan perbincangan awal mengenai Kuota Haji bagi 2021, jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan menunaikan Umrah serta prosedur operasi standard (SOP) mengerjakan ibadat Haji dan Umrah, jika dibenarkan, sebelum vaksin COVID-19 ditemui.

"Memandangkan Arab Saudi dijangka melonggarkan sekatan sempadan antarabangsanya mulai 1 Jan 2021, keputusan ini membayangkan bahawa ibadat Haji dan Umrah mungkin dibenarkan bagi jemaah antarabangsa, dengan satu set SOP yang telah ditentukan," katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata meskipun belum ada kata putus daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung ibadat Haji dan Umrah serta kaedah menunaikannya, kedua-dua negara bersetuju bahawa perbincangan serta perancangan awal melalui Jawatankuasa Strategik Peringkat Tinggi adalah penting supaya mereka akan lebih bersedia selepas sebarang keputusan dibuat pada masa akan datang.


Katanya beliau amat menghargai komitmen Kerajaan Arab Saudi untuk bersama-sama menubuhkan jawatankuasa itu dan percaya ia akan memanfaatkan kedua-dua negara.

Hishammuddin berkata pada awal tahun ini, Arab Saudi telah menyumbang lebih tujuh juta unit peralatan perubatan kepada Malaysia, menjadikan negara itu penyumbang terbesar yang menghulurkan bantuan berkaitan COVID-19 untuk negara ini. - BERNAMA

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page