top of page

Status kewarganegaraan Ketua MIC Sabah mulai dipersoal

  • Wartawan Nabalu News
  • Jan 18, 2022
  • 2 min read

ree
Carlye (kiri) dan Maximus

18 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Status kewarganegaraan Ketua Kongres India Malaysia (MIC) Sabah, Peer Mohamad Kadir mulai dipersoal pelbagai pihak kerana didakwa telah mendapatkan kewarganegaraan secara tidak sah.


Profesor James Chin, pensyarah dari Universiti Tasmania dalam ciapan Twitternya hari ini telah mengongsikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Di Sabah yang menyatakan bahawa Peer adalah saksi ke-116 mengaku dilahirkan di Chennai, India tetapi memiliki MyKad.


Dalam petikan laporan tersebut, Peer mula memohon kad pengenalan Malaysia secara akuan berkanun pada tahun 1986 dengan bantuan seseorang yang dipanggil Pak cik.


Pada tahun 1990 dia diberikan kad pengenalan biru Malaysia yang menyatakan dia lahir di Kampung Banbangan dan sejak itu, dia telah pun berkahwin dengan dua orang isteri dan mempunyai empat orang anak semuanya memiliki sijil kelahiran dan kedua-dua isterinya turut memegang pasport.

ree

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menyatakan kebimbangan ke atas kelemahan perundangan imigresen yang mengakibatkan banyak pendatang asing diberikan dokumen MyKad melalui cara yang meragukan.


Timbalan Ketua Bahagian UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin yang juga Bendahari EXCO Pemuda UPKO berkata, belum ada tindakan drastik dan usaha pragmatik menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah walaupun laporan RCI telah dikeluarkan pada tahun 2014.


“Kes Peer ini membuktikan ketirisan perundangan Imigresen dan pendaftaran negara Malaysia di Sabah yang tidak pernah diperbaiki secara drastik.


“Ini hanya tips of iceberg sahaja. Mungkin berpuluh ribu lagi di luar sana yang mendapat manfaat seperti beliau (Peer) melalui manfaat parti politik tertentu di Sabah selama ini.


“Dua jawatankuasa bertahap tinggi susulan laporan RCI juga telah ditubuhkan untuk mencadangkan dan menangani syor-syor penyelesaian masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah, tetapi tidak pernah dilaksanakan.


“Apa yang ada hanya retorik politik semasa kempen pilihanraya. Sehingga kini parti dan pendukung parti yang berkempen mahu menghantar kumpit-kumpit balik ke negara asal juga tidak pernah melaksanakan apa yang mereka cakap semasa kempen pilihanraya pada tahun 2020,” katanya.


Carlye turut menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah menunjukkan ketegasan dalam perkara ini dan membuktikan kepada rakyat Sabah mereka dapat menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin ini secara tuntas.


Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Maximus Ongkili turut menyatakan kekhuatiran parti itu mengenai dakwaan Peer memperolehi kad pengenalan Sabah enam tahun selepas memasuki negeri ini dari India pada tahun 1984.


Sehubungan itu beliau menyeru pihak berkuasa melakukan pemeriksaan latar belakang Peer.


Beliau berkata, Pergerakan Pemuda PBS juga akan membuat laporan polis berkenaan perkara itu dan berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan.


"PBS khuatir terhadap dakwaan bahawa beliau (Peer) telah memasuki Sabah dari India pada 1984 dan memperoleh kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara yang meragukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBS semalam.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page