Sabah cadang Dana USP diperluas, sokong pendigitalan pendidikan
- nabalunews
- 2h
- 1 min read

13 Januari 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) mencadangkan supaya Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) diperluas bagi menyokong agenda pendigitalan pendidikan di negeri itu, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, cadangan itu antara perkara dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di sini pada Isnin.
“Perbincangan tertumpu kepada pelaksanaan JENDELA Fasa 2 di Sabah, khususnya keutamaan liputan internet berkualiti di kawasan luar bandar, pedalaman serta sekolah-sekolah sebagai nod utama pendidikan digital.
“KPSTI Sabah turut mencadangkan peluasan penggunaan Dana USP bagi memperkukuh ekosistem pembelajaran digital, termasuk penubuhan Digital Smart Lab di sekolah terpilih,” katanya.
Selain pendigitalan pendidikan, James berkata, perbincangan turut menyentuh isu keselamatan digital kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, ia termasuk cadangan mengurangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja bawah 16 tahun sebagai langkah pencegahan terhadap ancaman jenayah seksual dalam talian, antaranya kes pedofilia yang dilihat semakin meruncing.
Tambah beliau, kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan agenda pendigitalan pendidikan di Sabah dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.


















Comments