top of page

1,340 pegawai, anggota JBPM Sabah siap sedia hadapi musim tengkujuh

  • nabalunews
  • Dec 3, 2024
  • 2 min read



3 Disember 2024


KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan menggerakkan 1,340 pegawai dan anggotanya bagi penugasan menghadapi musim tengkujuh serta Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka sehingga Mac tahun depan.


Ini termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dan Pegawai Bomba Sukarela (PBS) bersama aset yang akan bertugas di 799 kawasan panas (hotspot) sepanjang tempoh berkenaan.


Pengarah JBPM Sabah yang baharu, Jainal @ Zainal Madasin berkata, pada masa sama sejumlah 938 kekuatan logistik darat dan air dipersiapkan sekiranya diperlukan pada bila-bila masa dalam menghadapi bencana banjir.


“Ini termasuk 47 Fire Rescue Tender (FRT), 69 bot, 51 pacuan empat roda, 17 kenderaan angkut lima dan tiga tan, 61 peralatan khas serta 693 jaket keselamatan yang akan digunakan.


“JBPM Sabah mempunyai keperluan yang mencukupi untuk menghadapi fasa MTL dengan menggerakkan 27 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh Sabah.


“Sepanjang tempoh ini juga kita akan menggerakkan semua pegawai dan anggota termasuk 964 keanggotaan JBPM Sabah, 231 PBB dan 145 PBS yang mana semua cuti akan dibekukan bagi memastikan kelancaran penugasan di lapangan,” katanya seperti dilaporkan Info X.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Terima Tugas di Ibu Pejabat JBPM Sabah di Lintas, di sini, pada Selasa.


Hadir sama, Timbalan Pengarah JBPM Sabah yang baharu, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Lizalman Abu.


Mengulas lanjut, Zainal berkata, JBPM Sabah juga mengambil beberapa pendekatan dalam usaha mengurangkan risiko kes berbanding sebelum ini.


“Semua jentera dan peralatan serta penugasan sumber manusia diatur gerak ke Regional Forward Base (RFB) yang ditetapkan selepas diaktifkan dan pada masa sama Pasukan Gerak Cepat Monsun Timur Laut 2024/ 2025 (PGC MTL) turut digerakkan mengikut ketetapan selepas pelan atur gerak diaktifkan.


“Kita akan melaksanakan latihan banjir antara agensi berkaitan serta kenal pasti maklumat kawasan banjir dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selain menjalankan kajian kawasan berkenaan tempoh masa pergerakan aliran air ke lokasi penempatan dan jalan-jalan masuk ke lokasi mangsa,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan mengenal pasti keperluan atau penambahan BBP di negeri ini dalam usaha mencapai tempoh masa tindak balas ke lokasi kejadian dengan pantas.


“Kita mempunyai dua BBP yang sedang dalam pembinaan masing-masing di Merotai dan Pitas dijangka siap sepenuhnya dan akan beroperasi tahun hadapan selain sebuah BBP yang sedang dalam perancangan di KKIP mengikut kesesuaian peruntukkan.


“Kita juga memberi perhatian terhadap BBP jenis Balai ‘B’ berdasarkan kesesuaian geografi atau tapak tanah di kawasan yang terletak jauh daripada BBP utama bagi mengurangkan lebih banyak kemusnahan harta benda,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page