10,000 pengunjung dijangka hadiri pelancaran Pesta Kaamatan 2026 di Papar
- nabalunews
- Apr 29
- 1 min read

29 April 2026
KOTA KINABALU: Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2026 peringkat negeri yang akan berlangsung di Papar pada 1 Mei ini.
Pegawai Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali berkata, persiapan sambutan itu setakat ini berjalan lancar hasil perancangan rapi oleh jawatankuasa pelaksana sejak awal April.
"Segala persiapan termasuk pengisian program di dalam dan luar Dewan Masyarakat Papar kini berada pada tahap yang memuaskan dan berjalan lancar menjelang majlis perasmian,” katanya ketika ditemui media di konti Radio SABAHFM, di sini pada Selasa.
Majlis pelancaran itu akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, dan dijangka dihadiri barisan pemimpin negeri, ketua jabatan serta jemputan khas dari Kalimantan Utara.
Muhammad berkata, Papar turut mencatat sejarah apabila dipilih sebagai tuan rumah majlis pelancaran peringkat negeri buat julung kali.
“Penganjuran Pesta Kaamatan bukan sahaja bertujuan memartabatkan budaya tradisi, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan sambutan serta bersama-sama mengekalkan warisan budaya yang menjadi identiti Sabah.















Comments